MyFutureJobs tawar 11,846 pekerjaan dalam sektor baharu

 

Sebanyak 11,846 peluang pekerjaan dalam sektor pekerjaan baharu direkodkan sepanjang tempoh 1 Januari hingga 24 Februari lalu yang menawarkan gaji antara RM5,000 hingga RM10,000 ke atas. 

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini, berkata peluang pekerjaan baharu itu boleh dirujuk melalui portal MYFutureJobs yang diperkenalkan kerajaan sejak 2020.

"Antara industri atau sektor utama yang dikenal pasti mendapat permintaan tinggi adalah sektor komunikasi dan maklumat, pembuatan, pengangkutan, aktiviti profesional, saintifik dan teknikal serta pendidikan.

"Manakala pekerjaan baharu yang kini mendapat permintaan tinggi dalam kalangan majikan ialah penganalisis data, penganalisis sistem ICT, pembangun antara muka pengguna, saintis data, arkitek sistem ICT, pembangun pangkalan data, sistem terbenam, pembangun perisian, jurutera penyelidikan, penganalisis logistik, penganalisis perniagaan ICT, pereka digital media, pembangun permainan digital dan pakar forensik digital," katanya. 

KSM berkata, gaji ditawarkan bergantung kepada tahap pendidikan, pengalaman dan kemahiran dimiliki pencari kerja.

Sementara itu, KSM berkata, bagi tempoh 1 Januari 2020 hingga 18 Februari 2022, sebanyak 96,661 majikan berdaftar dengan MYFutureJobs yang menawarkan 3.88 juta kekosongan jawatan.

"Daripada jumlah itu, sehingga kini sebanyak 431,989 kekosongan jawatan aktif masih terbuka," katanya.

– BERNAMA

 

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url