Tambang percuma selama sebulan pengangkutan awam kendalian RapidKL - PM
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan semua pengangkutan awam kendalian RapidKL akan ditawarkan secara percuma selama sebulan, mulai 16 Jun 2022.
Perdana Menteri berkata, pemberian perkhidmatan percuma Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Bas Rapid Transit (BRT) serta bas RapidKL itu dibuat sempena pembukaan rasmi MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu.
Beliau berharap Keluarga Malaysia yang terbabit mengambil kesempatan mencuba perkhidmatan pengangkutan awam itu dan meletakkan kenderaan masing-masing di 'Park N Ride' dan #JomNaikMRT.
"MRT Laluan Putrajaya yang dibangunkan dalam dua fasa, menyediakan perkhidmatan kepada lebih kurang dua juta penduduk di koridor bermula dari kawasan Kwasa Damansara ke Putrajaya, pusat pentadbiran kerajaan.
"Bagi perasmian MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu hari ini, kemudahan ini akan membolehkan pengguna menikmati pertukaran perkhidmatan yang lancar ke MRT Laluan Kajang membabitkan platform aras sama di stesen Kwasa Damansara.
"Bas perantara dan bas GoKL juga akan disediakan di stesen bagi menyambungkan destinasi pertama dan terakhir.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua yang terbabit dalam menjayakan projek yang bakal memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu: Penghubung Keluarga Malaysia serta aplikasi PULSE di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Terdahulu, Perdana Menteri diiringi Ka Siong, Zafrul, Shahidan, Mustapa serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana (M) Berhad, Mohd Azharuddin Mat Sah meluangkan masa mengalami sendiri pengalaman menaiki tren MRT laluan Putrajaya sebelum berhenti di stesen Sri Damansara Sentral.
MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu sepanjang 17.5 kilometer (km) itu membabitkan 12 stesen, termasuk tiga yang ditukarkan daripada MRT Laluan Kajang dengan tempoh perjalanan selama 24 minit, selain menempatkan 2,836 lot parkir di tujuh kemudahan 'Park n Ride'.
Jajaran itu turut mengetengahkan empat stesen pertukaran, masing-masing di Kwasa Damansara (dengan MRT Laluan Kajang); Sungai Buloh dan Kampung Batu (dengan KTM) serta Sri Damansara Timur (dengan Stesen KTM Kepong Sentral).
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga memperluaskan pemberian tambang percuma kepada perkhidmatan tren KTM Komuter Lembah Klang selama sebulan, mulai hari ini.
Katanya, ia membabitkan tren kendalian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi jajaran Tanjung Malim ke Pelabuhan Klang dan Batu Caves ke Pulau Sebang Tampin.
"Pengumuman ini dibuat sempena pembukaan rasmi MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu, membabitkan kos bernilai RM15 juta.
"Subsidi diberikan kerajaan adalah dorongan supaya lebih ramai rakyat negara ini menggunakan pengangkutan awam sama ada untuk bekerja atau beriadah pada hujung minggu dan hari cuti.
"Penggunaan pengangkutan awam lebih meluas dalam kalangan rakyat dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas. Saya berharap orang ramai akan terus menggunakan pengangkutan awam ini walaupun perkhidmatan percuma hanya diberikan selama sebulan," katanya.
Sumber : Berita Harian