Berhati-hati dengan tawaran kerja di luar negara
Jabatan Imigresen akan berkerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain bagi mendidik orang ramai supaya tidak terpedaya dengan tawaran penipuan pekerjaan di luar negara yang menawarkan gaji lumayan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata orang ramai perlu berhati-hati apabila ditawarkan pekerjaan melalui media sosial dengan gaji lumayan terutama di luar negara.
Katanya, mereka boleh merujuk perkara itu dengan pihak berkuasa untuk mengesahkan kesahihan tawaran bagi mengelak ditipu sindiket.
Katanya, Jabatan Imigresen tidak boleh menghalang mana-mana individu ke luar negara kecuali yang disenarai hitam.
Sekatan ke luar negara hanya boleh dibuat terhadap individu yang disenarai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM), polis (PDRM) dan Kastam atau mempunyai sebab-sebab tertentu yang pernah dihalang keluar negara" katanya pada sidang media Prapelancaran Larian Imigresen 2022 di Putrajaya.
April lalu, media melaporkan 16 warga tempatan terpedaya dengan sindiket penipuan yang menawarkan gaji tinggi di Kemboja.
Kumpulan itu dilapor didera, tidak menerima gaji dan diugut dengan senjata api jika enggan berkerja.
Khairul Dzaimee berkata, pihaknya tidak boleh bertindak dalam kes rakyat Malaysia menjadi sindiket 'scammer' di luar negara kerana berada di luar bidang kuasa jabatan.
Sementara itu, katanya, Larian Imigresen 2022 akan berlangsung pada 4 September sempena sambutan Hari Imigresen 2022 dan Bulan Kemerdekaan.
Program kali ketiga dianjurkan sejak 2019 ini membabitkan tiga kategori iaitu terbuka lima kilometer 'Fun Run' (km), 10 km dan 15 km terbuka dan veteran.
Sumber : Berita Harian