GENTING HIGHLANDS: King's Park Development Sdn Bhd memperkenalkan ruang hiburan berkeluasan 390,000 kaki persegi di King's Park, pembangunan bersepadu pelbagai guna di sini yang akan turut menempatkan hotel Hard Rock terbesar di Asia yang dinamakan Hard Rock Genting Highlands pada 2027.
Naib Presiden Eksekutif King's Park Development, Sean Chen, berkata pembangunan bersepadu di King's Park kini menjadi destinasi percutian unggul apabila keluarga boleh menikmati percutian yang hebat dan sihat, lengkap dengan aktiviti menyeronokkan dan pengalaman menginap.
Katanya, pembangunan itu bukan hanya berhasrat untuk menjadi Hard Rock terbesar di Asia, tetapi dengan ruang hiburan seluas 390,000 kaki persegi, syarikat berhasrat untuk menjadi yang paling menarik dan destinasi yang menggembirakan untuk penginapan serta lawatan.
"Kami komited untuk menerapkan semangat Hard Rock, menggabungkan tenaga 'rock 'n' roll' yang berjiwa bebas ke dalam reka bentuk pembangunan. Kawasan hiburan seluas 390,000 kaki persegi ini akan berkongsi perkarangan dengan Hotel Hard Rock Genting Highlands yang akan dibahagikan dengan teliti kepada kategori berbeza.
"Ini termasuk zon mesra keluarga, dewan acara serba boleh, bar atas bumbung yang canggih, taman yang tenang, bilik pameran mewah, restoran mewah bertaraf dunia, pelbagai pilihan tempat makan, taman permainan untuk kanak-kanak, barangan mainan dan barang koleksi kedai.
"Terdapat juga taman mega yang luas, tempat membeli-belah, kawasan kecergasan dan kesihatan yang khusus, kedai cenderahati dan kemudahan perniagaan terkini, semuanya disematkan dengan teliti dalam rangka kerja inisiatif kelestarian," katanya.
Pada pertengahan bulan lalu, King's Park Development mengumumkan bakal membuka Hard Rock Genting Highlands setinggi 45 tingkat yang akan menampilkan 371 bilik dan 630 suite, menjadikan keseluruhan 1,001 bilik dan suite, 200 meter persegi ruang runcit dipanggil 'Rock Shop', selain kolam renang panas, ruang makan, spa selain lounge dan bar.
Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM10 bilion, King's Park akan dibangunkan dalam lima fasa, merangkumi komponen kediaman, komersial dan hiburan.
Mengulas lanjut, Chen berkata, King's Park juga bakal muncul sebagai daerah pusat perniagaan (CBD) pertama di Genting Highlands yang mana ia akan dikelilingi oleh projek perbandaran oleh pemaju ternama.
"Pembangunan ini akan bersedia untuk mendapat manfaat yang besar daripada kemasukan peluang pelaburan dan pembangunan di Genting.
"Genting Highlands diunjurkan menerima 53 juta pelawat menjelang 2026 dengan kawasan tadahan melebihi 700,000 orang dalam radius lima kilometer. Jika dapat memperoleh 10 hingga 20 peratus daripada jumlah pelawat itu sudah memadai bagi kami.
"Apa yang kami sasarkan untuk dibangunkan di sini adalah lebih daripada sekadar hotel dan taman tema, malah ekosistem CBD lengkap yang mampu berdiri sendiri dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat di kawasan itu," katanya.
Sumber : Berita Harian