Peluang memendekkan tempoh pengajian universiti


TAHUKAH anda, sebenarnya sejak dari tahun 2017, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) telah membenarkan sehingga 30 peratus daripada keperluan kredit untuk pengijazahan diambil secara kursus dalam talian dan dibuat secara pindahan kredit dengan syarat tertentu.

Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kini boleh memulakan pengajian universiti dalam bidang pilihan mereka tanpa perlu menunggu panggilan atau pendaftaran sebagai pelajar.

Dengan cara ini, mereka dapat mencapai dua matlamat penting. Pertama, meringankan beban pengajian apabila hanya perlu melengkapkan baki jumlah 70 peratus kredit pengijazahan dengan kursus yang diambil secara bersemuka.

Kedua, kemungkinan untuk memendekkan tempoh pengajian oleh kerana telah menyelesaikan sehingga 30 peratus lagi secara pembelajaran kendiri.

Sebagai contoh, seorang pelajar lepasan STPM yang bernama Balqis yang bercita-cita untuk melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda di Universiti Malaya (UM) dalam bidang Sains Aktuari.

Balqis boleh menyemak dan meneliti struktur kurikulum Sains Aktuari dari laman sesawang UM dan mendapatkan senarai kursus bagi program tersebut, sebagai persediaan.

Beliau boleh membandingkan senarai kursus ini dengan mana-mana kursus dalam talian yang berkaitan sama ada ianya ditawarkan oleh UM atau universiti lain dari dalam dan luar negara.

Ini bagi membolehkan beliau mendapatkan sijil microcredential dan setelah diterima masuk ke UM, Balqis hanya perlu membuat permohonan pindah kredit.

UM akan memulakan proses berkenaan dengan mengesahkan ketulenan sijil tersebut dan boleh mengadakan penilaian khas terhadap Balqis untuk menilai pencapaian.

Selain itu, pelajar yang sedang menjalani program pengajian di universiti juga berpeluang untuk belajar secara dalam talian mengikut masa mereka sendiri, dan memohon pindahan kredit kepada mana-mana kursus yang belum diambil secara konvensional.

Peluang seperti ini yang telah tersedia dan diterima oleh sektor pendidikan tinggi dalam negara perlu dimanfaatkan secara maksimum oleh remaja lepasan SPM dan STPM.

Sebagai rumusan, kursus dalam talian secara microcredential ialah model pendidikan masa hadapan yang sedang merubah lanskap pendidikan tinggi dan alam pekerjaan.

Sumber : Sinar Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url