Budak genius 12 tahun, Izz Imil jadi mahasiswa Universiti Malaya



Kanak-kanak genius, Izz Imil Shahrom yang baru berusia 12 tahun, diterima masuk bagi mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik di Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM).

"UM ingin mengesahkan kemasukan pelajar cemerlang berusia 12 tahun, Izz Imil, sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik, Fakulti Sains UM," menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu, Naib Canselor UM, Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman, berkata Izz telah melalui proses temu duga dengan Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan pihak universiti.

Justeru, katanya, kemasukan kanak-kanak itu diluluskan Senat Universiti bagi menyambung pengajian di UM.

Memandangkan usia Izz yang begitu muda, beliau berkata, UM memohon semua pihak memberi ruang dan privasi kepadanya untuk melalui proses pembelajaran serta penyesuaian diri di universiti.

"Perkara ini penting bagi membolehkan beliau melalui proses tumbesaran yang kondusif, di samping menjalani pengajian dengan baik," katanya.

Pada Januari 2018, Berita Harian pernah menerbitkan laporan mengenai kepintaran luar biasa Izz yang berusia lima tahun ketika itu.

Walaupun menghidap autisme, kanak-kanak itu dilaporkan memiliki kebolehan menakjubkan apabila berupaya menyelesaikan soalan Matematik dan Kimia Tingkatan Empat.

Keupayaan luar biasa kanak-kanak lelaki ceria itu dikesan ibunya, Ilyah Abdul Aziz, dan bapanya, Imil Shahrom Abdul Ghani, apabila menyedari dia menunjukkan minat terhadap angka sejak berusia tiga tahun.

Ilyah dipetik berkata, anaknya yang menghidap autisme tahap sederhana dan hyperlexia, cenderung dalam Matematik serta Sains sehingga mampu menjawab pelbagai aras soalan Matematik dan Kimia.

Ketika itu, Izz terpilih sebagai antara 138 pelajar yang mendaftar di Pusat PERMATA Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bagi sesi pembelajaran baharu.

Izz Imil berperwatakan cerita - Menteri Pengajian Tinggi

Kanak-kanak genius, Izz Imil Shahrom yang bergelar mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik di Universiti Malaya (UM) pada usia 12 tahun, adalah seorang berperwatakan ceria dan sangat petah berbicara.

Demikian dikongsikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, yang singgah di UM untuk bertemu sendiri dengan pelajar cemerlang itu seusai program 'In Person with Doc Zam' di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), petang tadi.

Beliau berkata, pertemuan singkat itu turut disertai oleh ibu bapa Izz dan Naib Canselor UM, Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman.

"Izz Imil sama seperti anak-anak lain seusia dengannya. Berperwatakan ceria dan sangat petah berbicara

"Ternyata minat beliau dengan matematik sangat mendalam sehingga perbualan kami juga banyak berkisar tentang nombor," katanya dalam satu hantaran melalui Facebook, malam ini.

Terdahulu, UM dalam satu kenyataan mengesahkan Izz diterima masuk bagi mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik di Fakulti Sains.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak UM bahawa pengambilan itu sudah melalui proses temu duga dengan Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan oleh universiti, selain diluluskan Senat Universiti untuk Izz menyambung pengajian di UM.

"Pihak universiti sendiri telah merangka beberapa perancangan khusus supaya adik Izz Imil dapat belajar dengan persekitaran yang baik dan kondusif.

"Sama-sama kita doakan adik Izz Imil dapat belajar dengan baik, menjadi pelajar cemerlang serta mampu memberi hasil terbaik kepada masyarakat dan negara.

"Kepada adik Izz Imil, kita jumpa lagi nanti. Banyak lagi 'game trick' yang kita nak buat sama-sama nanti," katanya.

Sumber : Berita Harian

Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url