Inkues Zara Qairina: Ubat anti-sawan lazimnya diberi sebagai pencegahan kecederaan otak trauma
Pakar patologi forensik yang menjalankan bedah siasat ke atas Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa Phenytoin lazimnya diberikan sebagai langkah pencegahan sawan.
Dr Jessie Hiu berkata, beliau tidak pasti sama ada ubat anti-sawan itu diberikan ketika Zara Qairina dibawa ke Hospital Queen Elizabeth di sini pada 16 Julai.
Datuk Ram Singh, peguam yang mewakili salah seorang daripada lima remaja tertuduh yang berkaitan dengan kes Zara Qairina, menyoal Dr Jessie mengenai kenyataannya yang menyebut tentang penggunaan Phenytoin.
Ram Singh: Dalam laporan bedah siasat anda, perenggan 29 (mengenai analisis toksikologi yang menyatakan Phenytoin dikesan dalam tisu buah pinggang). Adakah anda tahu rawatan hanya diberikan kepada si mati setelah dia dibawa ke hospital?
Dr Jessie: Saya tidak tahu. Doktor yang merawat memaklumkan bahawa mereka lazimnya memberikan Phenytoin sebagai langkah pencegahan kepada pesakit yang mengalami kecederaan otak trauma yang serius.
Dalam kenyataan saksi yang dibacakan oleh Dr Jessie semalam, ia turut menyentuh perkara ini.
Ram Singh: Begitu juga dalam kes ini, sebelum atau selepas kejadian, atau sebelum menyediakan laporan bedah siasat, adakah anda mempunyai akses kepada sebarang rekod perubatan si mati dari mana-mana hospital?
Dr Jessie: Kecuali rekod pada 16 hingga 17 Julai, selain daripada itu saya tidak mempunyai akses kepada rekod lain.
Sumber - Berita Harian


