Sakit sebelum tua

 


Malaysia berdepan ancaman krisis kesihatan membimbangkan apabila semakin ramai rakyat menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) pada usia muda, sekali gus mewujudkan fenomena 'sakit sebelum menua' yang boleh menjejaskan produktiviti negara dan menekan sistem kesihatan awam.

Peningkatan kes NCD, isu kesihatan mental, obesiti dan tekanan hidup bukan sahaja mengurangkan kualiti hidup rakyat tetapi turut berisiko memperlahankan pertumbuhan ekonomi negara.

Ramai yang mendapatkan rawatan selepas penyakit pada tahap serius, menyebabkan kos rawatan meningkat dan produktiviti kerja merosot.

Ia diburukkan dengan situasi Malaysia yang bergerak ke arah negara menua menjelang 2030 apabila 15 peratus daripada populasinya berumur 60 tahun dan ke atas.

Penyakit ini kebiasaannya bermula dari usia 40-an atau 50-an sebelum meningkat ke tahap yang kronik selepas tempoh persaraan.

Kadar saringan kesihatan yang masih rendah dan budaya menangguhkan rawatan turut menjadi cabaran utama.

Data Laporan Patient Voices Malaysia: Making Healthcare Clearer and More Connected oleh Economist Impact menunjukkan, hampir keseluruhan rakyat Malaysia pernah menangguhkan rawatan kesihatan atas faktor kos, komitmen kerja dan keutamaan keluarga, menyebabkan penyakit hanya dikesan pada peringkat lebih serius.

Antara faktor utama penangguhan rawatan termasuk kebimbangan menjadi beban kepada keluarga dari segi kewangan atau penjagaan (28 peratus), komitmen kerja (19 peratus) dan mendahulukan keperluan anak berbanding diri sendiri (18 peratus).

Berdasarkan data terkini ProtectHealth, anak syarikat Kementerian Kesihatan (KKM), hanya 27 peratus daripada 7.1 juta rakyat Malaysia layak menggunakan perkhidmatan PeKa Sihat (Peka B40) walaupun ia percuma sepenuhnya.

Peka Sihat adalah inisiatif kerajaan bagi meningkatkan akses golongan B40 kepada penjagaan kesihatan, terutama aspek pengesanan awal NCD.

Kajian Alpro Health menunjukkan, satu daripada dua pekerja berisiko mengalami keletihan melampau atau burnout akibat tekanan kerja semakin meningkat.

Kajian itu mendapati, sekitar 49 peratus responden berisiko tinggi burnout, lebih 57 peratus pekerja mengalami tekanan psikologi tinggi, manakala 46 peratus berdepan tekanan fizikal ketara dalam menjalani tugasan harian.

Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kemurungan dan keresahan menyebabkan kehilangan kira-kira 12 bilion hari bekerja setiap tahun di seluruh dunia.

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam laporan global 2026 menganggarkan risiko psikososial di tempat kerja menyumbang kepada lebih 840,000 kematian setahun dan kerugian ekonomi, bersamaan kira-kira 1.37 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.

Kesihatan tenaga kerja susut

Pakar melihat fenomena 'sakit sebelum menua' ibarat 'bom jangka' demografi yang boleh menjejaskan produktiviti negara jika tidak ditangani lebih awal.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Kuliah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Muhammad Adil Zainal Abidin, berkata Malaysia bagai berlumba dengan masa berikutan kemerosotan tahap kesihatan tenaga kerja sebelum usia persaraan yang semakin membimbangkan.

Katanya, keadaan itu bukan sahaja meningkatkan kos rawatan kesihatan negara, malah menyebabkan kehilangan modal insan kritikal ketika negara berdepan cabaran populasi menua dan penyusutan saiz tenaga kerja masa depan.

Situasi itu, jelasnya, lebih membimbangkan apabila digabung dengan kadar kesuburan rendah yang menyebabkan saiz keluarga semakin kecil, sekali gus melemahkan sistem sokongan tradisional dalam keluarga.

"Apabila saiz keluarga mengecil, sistem sokongan tradisional iaitu anak menjaga ibu bapa akan runtuh.

"Jika generasi kecil ini turut berdepan masalah kesihatan atau tekanan kewangan akibat kos rawatan keluarga, produktiviti negara boleh terjejas secara menyeluruh.

"Saringan awal NCD seperti diabetes, hipertensi dan penyakit jantung perlu dianggap sebagai insurans produktiviti untuk negara supaya pekerja kekal sihat dan mampu menyumbang kepada ekonomi dalam tempoh lebih panjang, terutama golongan berusia antara 45 hingga 55 tahun yang memiliki pengalaman serta kemahiran tinggi.

"Apabila pekerja mahir mengalami komplikasi seperti strok atau perlu menjalani dialisis, negara kehilangan tenaga kerja berpengalaman yang sepatutnya memindahkan kemahiran kepada generasi muda," katanya.

Muhammad Adil berkata, pendekatan kesihatan awam perlu beralih daripada konsep sick care kepada healthcare dengan penekanan kepada pencegahan dan pengesanan awal.

Saringan awal, katanya, mampu mengurangkan kes kecemasan di hospital, sekali gus membolehkan sumber manusia dan kewangan negara disalur kepada usaha pemerkasaan kesihatan dan pencegahan penyakit.

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url