Inspirasi seni bina Islam


Pameran Ilham Suci: Tujuh Prinsip Seni Bina Islam di Muzium Kesenian Islam di Kuala Lumpur pasti membuka minda pengunjung terhadap keindahan dan keunikan ajaran Islam serta falsafah di sebalik Islam sebagai gaya hidup.

Bukan sekadar melafaz cinta dan percaya terhadap kewujudan Allah serta amal ibadat yang mengiringinya, Islam mempunyai pengaruh besar dalam pelbagai aspek kehidupan. Ini termasuk bidang sains dan teknologi (S&T), seni dan kemanusiaan yang menyaksikan banyak ciptaan dan idea pemikir Islam mencetus gelombang evolusi sejagat.

Seni bina Islam sudah lama diangkat sebagai cabang seni yang tinggi martabatnya. Malah seni bina Islam menjadi ikutan kerana faktor keseimbangan dan ketahanan rekaan serta daya penariknya. Bermula pada ciptaan masjid, makam, istana dan kubu, seni bina Islam terus berkembang hingga dapat dikategorikan secara jelas pada zaman awal kemunculannya.

Antara contoh seni bina Islam ialah Moor (Moorish) yang banyak kelihatan di Semenanjung Iberia dan Utara Afrika. Seni bina Timurid yang dilihat di Asia Tengah; seni bina Turki; seni bina era Empayar Ottomaniah; seni bina zaman Fatimiad di Kaherah seperti di Masjid Al Az har; seni bina Mamluk di Kaherah Lama dan seni bina Mughal.

Identiti seni bila Islam juga menonjol dalam aspek penggunaan air dan cahaya yang menimbulkan kesan dari segi penampilan ruang. Jika dunia seni barat dipelbagaikan dengan variasi gaya roccoco, baroque, cubism atau art deco, prinsip seni bina Islam amat mudah, indah dan bercirikan kontemporari.

Ia bersifat geometrik dan bersulam dekorasi khat yang berasaskan keabadian kekuasaan Allah. Manusia atau haiwan pula digambarkan secara dekoratif.

Inilah keunikan seni bina Islam yang dipaparkan pada Pameran Ilham Suci: Tujuh Prinsip Seni Bina Islam di Muzium Kesenian Islam sekarang. Pameran ini yang bertujuan menzahirkan hubungan intrinsik antara umat Islam, kepercayaan dan bagaimana ia dimanifestasikan dalam bidang seni bina atau architecture - mampu membawa pengunjung mendekati kreativiti arkitek Islam.

Pameran ini mendekati tujuh elemen atau prinsip seni bina Islam yang menjadi inspirasi kepada rekaan struktur fizikal seperti masjid dan bangunan. Apa yang menarik, falsafah bagi setiap prinsip iaitu ihtiram (hormat); ikhlas; iqtisad (kesederhaan atau keseimbangan); tawhid (penyatuan); ilm (ilmu); dhikir (zikir) dan haya (memelihara kehormatan) jelas diperlihatkan bagi setiap rekaan seni bina.

Setiap prinsip mendasari rekaan sebagaimana dalamnya pegangan dan kecintaan pereka terhadap kuasa Allah. Ciri ihtiram (hormat) mahupun dhikir (zikir), misalnya jelas digambarkan secara simbolik pada rekaan seni bina mahupun motif ukiran yang diadun secara harmoni. Unsur ketaatan kepada Allah dan Nabi Muhammad SAW juga terserlah dalam rekaan masjid yang menjadi tempat suci umat Islam.

Pemangku Ketua Jabatan Hal Ehwal Kurator Muzium Kesenian Islam, Lucien de Guise, berkata hubungan antara umat Islam, kepercayaan mereka dan bagaimana ia dizahirkan dalam seni bina dapat dilihat melalui seni bina Islam.

“Dengan memeriksa setiap bentuk atau jenis seni bina, gambaran sebenar mengenai hubungan dan faktor pengaruh Islam dalam seni bina dapat dilihat.

“Tanpa mengira sesebuah bangunan itu tempat suci atau sekular, inspirasi merekabentuk struktur itu datang dari Tuhan. Bagi umat Islam, Allah adalah sumber segala-galanya.

“Ini dianggap fenomena universal di kalangan dunia Islam biarpun diperhatikan makin berkurangan pegangan ini dalam dunia moden,” katanya ketika ditemui Sabtu di Pameran Ilham Suci: Tujuh Prinsip Seni Bina Islam di Muzium Kesenian Islam di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

de Guise berkata, kurator pameran, Nisreen Moustafa menggariskan tujuh prinsip asas dalam seni bina Islam yang setiap satunya menceritakan dengan terperinci penghayatan penciptanya terhadap setiap falsafah.

Beliau berkata, sejak beradab-abad lamanya, seni bina Islam menggambarkan Islam sebagai cara hidup.

“Daripada kepentingan kebersihan dan solat, keperluan spiritual umat Islam diterjemahkan dalam bangunan atau struktur fizikal yang mengelilingi mereka.

“Namun, corak kehidupan tradisional di kalangan dunia Islam makin berubah dan ini memberi kesan terhadap faktor kepentingan dalam seni bina Islam,” katanya.

de Guise berkata, selain penjelasan bagi setiap prinsip, pengunjung juga boleh melihat hasil kerja penuntut Prince’s School of Traditional Arts (PSTA) di London dipamerkan. Institusi ini yang mungkin kurang dikenali di Malaysia, menjadi institusi khusus mengkaji pelbagai aspek seni tradisional termasuk seni bina Islam yang direka melalui pendekatan lebih kontemporari.

Lebih menarik, beberapa siri bengkel dan seminar bersama pakar dari PSTA dijadualkan berlangsung di Muzium Kesenian Islam pada 12 hingga 14 Februari depan mulai jam 10 pagi. Manakala siri kedua akan diadakan pada 17 hingga 19 Februari mulai jam 10 pagi. Selain itu, bengkel bagi kanak-kanak akan diadakan pada 21 Februari depan mulai jam 10 pagi.

Maklumat lanjut mengenai Pameran Ilham Suci: Tujuh Prinsip Seni Bina Islam, bengkel dan seminar boleh didapati di laman web www.iamm.org.my.



Asas dalam seni bina Islam

1. Ihtiram (hormat).

MENGIKUT perspektif Islam, hormat adalah suatu tahap kesopanan atau adab terhadap Allah, sesama manusia dan diri sendiri. Komponen kesopanan ini terkandung dalam ajaran asas Islam. Ia dijelmakan dalam lima rukun iaitu syahada (pengakuan keimanan); salat (solat); zakat (sedekah); sawm (puasa) dan hajj (menunaikan ibadat haji di Makkah). Penerimaan dan pelaksanaan kelima-lima rukun Islam ini menimbulkan rasa hormat hamba kepada Tuhan.

Daripada lima rukun, solat dianggap tiang agama yang mendasari pengakuan dan ketaatan tidak berbelah bagi. Solat yang didirikan lima kali sehari adalah perbuatan menyucikan diri serta melahirkan rasa kesyukuran dan mengagungkan kebesaran Tuhan. Dengan mengekalkan kestabilan dalam pekerjaan harian individu dan amalan kerohanian, arkitek Muslim mendapat ilham untuk menggambarkan ketaatan kepada Tuhan dan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Tiada hasil kerja seni bina lain yang meletakkan sanjungan ini lebih daripada seni bina masjid yang didirikan bagi menegakkan tiang agama dan menjadi nadi serta simbol penyatuan umat Muslim.

2. Ikhlas.

BAGI umat Islam, perbuatan atas jalan Tuhan mempunyai dua bentuk. Ini merangkumi perbuatan bersifat dalaman yang berkait dengan hati serta luaran yang lebih bersifat fizikal seperti mengerjakan solat.

Bagi hati, ada dua perkara yang berkait iaitu kepercayaan (aqidah) dan keikhlasan (ikhlas). Kepercayaan dapat dicapai dengan menghindari keraguan manakala keikhlasan membabitkan kerohanian manusia.

Tiga abjad asas perkataan Arab yang membentuk perkataan ikhlas ialah kh, l dan s - abjad asas yang juga membentuk perkataan kesucian (khulus). Kesatuan sifat keikhlasan dan kesucian dapat diterjemah dalam konteks seni bina melalui dorongan untuk merekabentuk binaan yang bersesuaian dengan kehendak Tuhan. Keadaan ini tampak jelas dengan ketiadaan unsur paparan dalam bentuk gambar dalam seni bina Islam.

Ekspresi keikhlasan terhadap Tuhan ini juga boleh ditemui dalam pembinaan ruang yang tiada figuratif manusia dan patung. Ketiadaan imej ini membenarkan umat Islam memberi lebih tumpuan terhadap keadaan luaran mereka serta mengarahkan jiwa mereka merenung atau berfikir.

Perlu diingat, ruang dan permukaan seni bina Islam adalah percantuman penggunaan geometri, pembahagian, garisan dan keluasan. Ini berkait dengan peraturan matematik yang tepat dari Tuhan.

3. Iqtisad (kesederhaan atau keseimbangan)

INTIPATI utama dalam seni bina Islam ialah kejayaan memperhalusi keseimbangan antara semua elemen praktikal dan rohaniah. Bagi umat Islam, kesederhanaan dan keseimbangan dalam unsur estetik adalah pertimbangan yang perlu dititikberatkan.

Elemen ini mempunyai kesan cukup mendalam terhadap seni bina Islam. Tubuh manusia umpama bekas bagi jiwa yang suci (nafs) dengan jantung sebagai teras utama. Ini dilihat sebagai simbol metafora di sebalik binaan rumah Islam. Idea bahawa jantung mempunyai kaitan dari segi seni binanya dengan mana-mana permukaan luaran bangunan Islam, dicipta untuk memelihara kesucian manusia. Ini berbeza dengan reka bentuk dalamannya.

Wujud persepsi mengenai keseimbangan sekata pada seni bina Islam yang dapat dirasai pengunjung. Ini memberi gambaran wujudnya keseimbangan yang sama dalam diri manusia dan pancaindera kita mengakuinya dalam bentuk seni bina. Sebagai contoh, sebuah anjung yang ringkas dibina dengan penuh keselarasan dan keseimbangan, mengubah sebuah ruang yang pada asalnya menzahirkan keluasan kepada sesuatu yang lebih berkualiti.

Umat Islam percaya untuk mencapai keseimbangan pada persekitaran seni bina bermaksud mengambil kira fenomena alam semula jadi dan memahami sifat-sifatnya.

Ini dapat dilihat pada beberapa struktur binaan lumpur bakar yang mengagumkan di Afrika dan selatan Arab. Namun, tanpa diduga, bandar purba Shibam di Yemen yang telah wujud berkurun lamanya mengalami kerosakan teruk akibat banjir yang melanda, baru-baru ini.

4. Tawhid (penyatuan)

ASAS penyatuan di dalam Islam ialah syahada (pengakuan keimanan) - aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad SAW Pesuruh Allah. Melalui pengakuan ini seluruh umat Islam disatukan serta sebuah masyarakat majmuk yang melangkaui jenis bangsa, kedudukan dan harta diwujudkan. Semangat penyatuan yang wujud ini menembusi bandar Islam, menyingkap keperibadian dan menyatukan penduduknya.

Perancangan bandar adalah cabang seni tersendiri. Ini menjadikan seni bina bertanggungjawab sebagai penyatu kehidupan sosial. Ini adalah perbuatan yang dikira sebagai sunnah dalam Islam, menyatukan seni bina dengan perlakuan dan sifat umum masyarakat Islam itu sendiri.

Ia menjadi asas yang sepatutnya membentuk struktur bandar Islam yang mengekalkan sifat keberkesanan dan kerohanian yang bertindak balas terhadap keperluan praktikal, tetapi tidak berlawan dengan tuntutan kejadiannya.

5. Ilm (ilmu).

PENCAPAIAN cemerlang seni bina dunia Islam adalah hasil usaha pewarisan minda kreatif. Kebanyakan arkitek Islam bermula dengan pengkhususan dalam satu atau beberapa bidang dalam kerja tangan seperti pertukangan batu dan kayu.

Walaupun dianggap bertaraf rendah dalam hierarki seni, ia tidak melambangkan tahap pemikiran dan ilmu arkitek Islam atau seniman yang mengambil berat mengenai diri mereka dengan menyempurnakan cara mereka berkerja.

Matematik adalah bahagian paling asas dalam program pendidikan selain geometri yang membantu dalam proses muhasabah diri. Ia bukan saja dilihat sebagai alat praktikal untuk rekaan dan hiasan seni bina, malah dianggap cara menghargai nilai rohani, keunikan dan corak yang menguruskan perjalanan sistem kosmos.

Antara pencapaian terbaik tamadun Islam pada abad kelapan Masihi atau kedua Hijrah ialah Masjid Jami’ di Cordoba. Keunikan masjid ini terletak pada kesan bunyi yang jelas dan mengagumkan pada ruang dalaman dewan sembahyangnya. Penggunaan tiang yang menampung gerbang dan tembok arked berkembar adalah olahan baru dalam seni bina Islam.

6. Dhikr (zikir).

ARKITEK Islam tidak bimbang dengan pengulangan seperti binaan tiang atas tiang, anjung atas anjung dengan ketepatan irama yang dicerminkan dalam alunan pujian sifat Allah. Berpandukan alunan irama ini, tradisi hiasan arabes dan muqarnas disatukan seiring dengan keseluruhan ciri seni bina Islam. Terutama arabes, dengan sifatnya yang tidak terbuka dan berjalin - adalah luahan susunan visual paling ketara.

Meditasi pemikiran seni bina mengekalkan sentuhan penyatuan melalui iramanya yang boleh dilihat sebagai sifat-sifat Allah yang kekal dan tiada penghujungnya. Hiasan arabes di seluruh dunia Islam memperlihatkan konsep penyatuan bentuk kejadian. Lingkaran arabes pada kepingan jubin dan panel berukir tingkap masjid dan istana menarik pandangan mata mengekorinya.

7. Haya (memelihara kehormatan).

Seni bina Islam adalah berkisar dengan titik teras dengan bahagian halaman yang bersifat terbuka di mana ia tidak hanya bertujuan bagi keperluan persekitaran binaan semata-mata, sebaliknya menitik beratkan tanggungjawab antara gender.

Privasi dan kehormatan menjadi nadi utama bagi susun atur dan pembahagian dalam seni bina Islam. Ini merangkumi keperluan memelihara kehormatan dan memartabatkan nilai murni bagi umat Islam; memelihara perilaku mulia serta kehidupan sekeluarga.

Tiga perkataan Arab yang menyimpul maksud memelihara kehormatan adalah tawado (kerendahan hati); ih 'tesham (kesopanan) dan istehyah (keinsafan atau kesedaran). Kemuliaan sifat ini sebagai contoh, dapat dimanifestasi dalam penerapan pemakaian kelubung oleh wanita Islam.

INFO

Program: Pameran Ilham Suci: Tujuh Prinsip Seni Bina Islam

Tempat: Muzium Kesenian Islam, Jalan Lembah Perdana, Kuala Lumpur.

Tarikh: Hingga 28 Februari 2009

Waktu: Mulai 10 pagi hingga 6 petang (setiap hari termasuk cuti am)

Bayaran: Dewasa (RM12), Pelajar dengan kad pelajar serta warga emas berusia lebih 55 tahun (RM6), Kanak-kanak bawah enam tahun (Percuma)

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url