Top Ad 728x90

RM35 juta untuk pembangunan Marang

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM35 juta untuk pelbagai program pembangunan di daerah ini dalam usaha menjadikan Marang sebagai daerah maju menjelang 2015.Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Yahya Khatib Mohamad berkata, daripada peruntukan itu sebanyak RM30 juta digunakan bagi melaksanakan program pembesaran jalan dari Bukit Payung ke Wakaf Tapai sepanjang 15 kilometer.

''Ia adalah sebagai usaha kerajaan untuk melihat Marang terus maju selain memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna.

''Kita ingin melihat Marang maju menjelang tahun 2015 dan apa yang diusahakan sekarang adalah untuk merealisasikan perkara tersebut," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Menengah Padang Midin di sini, semalam.

Menurutnya, sebanyak RM5 juta lagi diperuntukkan untuk pelaksanaan pembangunan desa di daerah itu bagi menambah baik terhadap program pembangunan yang sedia ada.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pengkalan Berangan memberitahu, hal itu melibatkan projek menaik taraf pasar Binjai Rendah, Perhentian Bas Bukit Payung, penambahan kawasan di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Bukit Parit, Marang.

Terdahulu ketika berucap di majlis tersebut, beliau menggesa ibu bapa supaya memberikan tumpuan dan perhatian yang lebih kepada anak-anak yang akan menduduki peperiksaan pada tahun ini.

''Sebagai ibu bapa, inilah masa kita perlu memberikan tumpuan yang lebih kepada anak-anak kita, abaikanlah sekejap masa untuk aktiviti lain demi masa depan anak-anak kita," ujarnya.

Dalam majlis yang sama juga, beliau turut menyumbangkan RM3,000 kepada SMK Padang Midin sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri kepada sekolah berkenaan.

Pada Sambutan Hari Guru Kelmarin, SMK Padang Midin turut memenangi johan pertandingan 3 K (Kebersihan, Kecerian, Keselamatan) yang mewakili peringkat negeri dengan membawa pulang wang tunai RM10,000 daripada Jabatan Pendidikan negeri (JPN).

Pada masa sama, seorang guru daripada sekolah berkenaan, Siti Hawa Ibrahim turut memenangi hadiah sebagai pemenang anugerah penulisan cerita kanak-kanak dalam kategori bahasa Melayu.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90