SUKMA Terengganu 2008 - 1,313 pingat jadi rebutan
Jumlah keseluruhan pingat yang akan dikalungkan kepada pemenang sepanjang kejohanan sepuluh hari itu ialah 2,549 kerana bagi beberapa acaram tempat ketiga dan keempat ditawarkan dengan dua pingat gangsa.
Hari pertama kejohanan pada 1 Jun ini bakal menyaksikan 19 pingat emas dipertandingkan iaitu lapan dalam acara renang, lumba basikal (dua), ekuestrian (satu), gimnastik (satu), karate (empat), lawan (dua) dan boling (satu).
Olahraga menawarkan pingat emas paling banyak iaitu 45, manakala kombinasi renang 38 emas dan terjun 10 emas, menjadikan 48 emas ditawarkan di kolam renang dalam acara akuatik.
Wushu menawarkan 20 pingat emas, manakala acara lain yang menjadi ‘lubuk emas’ ialah menembak (28), memanah (24), pencak silat (23), gimnastik (20), lumba basikal (18), kenu (18), taekwando (16), angkat berat (16), karate (15), boling (13) dan lawan pedang (12).
Apa yang menarik, kejohanan kali ini menggunakan format baru dalam menentukan juara keseluruhan apabila sistem kiraan mata tidak lagi digunakan dan diganti dengan sistem jumlah kutipan pingat emas.
Ini menjadikan kejohanan tersebut lebih `hangat’ dan bagi bekas juara keseluruhan Sarawak, mereka yakin mempunyai kelebihan apabila penentuan juara kali ini menggunakan format jumlah kutipan emas.
Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak, Francis Nyurang Ding berkata, sebelum ini negeri itu tewas dalam penentuan juara kerana pengiraan berdasarkan kutipan mata.
‘‘Saya gembira kerana kutipan pingat emas akan digunakan untuk menentukan juara keseluruhan,’’ katanya.
Sarawak akan menghantar kontinjen terbesar 752 atlet ke Terengganu.
Sarawak menyandarkan harapan emas dalam acara olahraga dan renang - dua acara yang secara tradisinya dikuasai negeri tersebut.
Dalam pada itu, tuan rumah Sukma Ke-12, Terengganu tidak meletakkan sasaran menggunung sekalipun beraksi di tempat sendiri.
Pada temasya dwi-tahunan itu, Terengganu sekadar menyasarkan 35 emas dan menduduki kelompok lima teratas.
Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Rosdi Awang berkata, sasaran itu paling realistik selepas mengambil kira pencapaian tempat ke-11 dengan hanya 15 emas pada Sukma di Kedah dua tahun lalu.
Daripada 31 acara yang dipertandingkan, Terengganu mengenalpasti 18 sukan yang mampu memberikan mereka emas.
Antaranya lumba basikal, olahraga, kenu, pencak silat, taekwondo, menembak, tinju, judo dan skuasy.
“Kami juga akan mempertahankan emas dalam acara bola sepak yang dimenangi di Kedah,’’ ujarnya.