Top Ad 728x90

Prestasi lalu pelaburan penentu kejayaan

Pemilihan produk pelaburan yang betul amat penting apabila memulakan strategi dan perancangan pelaburan kerana ia berkait rapat dengan keupayaan memastikan strategi dan perancangan pelaburan itu mampu diteruskan sehingga matlamatnya dicapai.

Justeru, mengenal pasti risiko dan pulangan sesuatu produk pelaburan adalah antara langkah awal yang perlu dilaksanakan, selain memastikan institusi yang mengendalikannya mempunyai rekod prestasi baik terutama dari aspek keupayaan membayar agihan pendapatan secara konsisten.

Ini diakui kebanyakan pelabur yang ditemui ketika Seminar Pelaburan Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pengarah Amanahraya Unit Trust Management Sdn Bhd, Datuk Syed Salleh Syed Othman, berkata beliau mula melabur dalam produk Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) sejak ia mula diperkenalkan pada 1980-an dan kini mempunyai pelaburan dalam pelbagai dana yang diuruskan anak syarikat Permodalan Nasional Bhd (PNB) itu.

“Kebanyakan orang tidak mahukan risiko pelaburan tinggi, justeru, pilihan terbaik ialah produk yang mempunyai risiko rendah tetapi memberikan pulangan berdaya saing.

“Contohnya, unit amanah ASNB yang mampu memberi pulangan terbaik walaupun ketika pasaran tidak begitu baik,” katanya.

Teoh Han Chong, akauntan di sebuah syarikat broker pula berkata, beliau memilih melabur dalam unit amanah ASNB kerana ia setakat ini sentiasa memberi pulangan yang baik.

“Dalam memilih produk pelaburan, amat penting untuk mengetahui prestasi lalu institusi yang mengendalikannya,” katanya.

Che Footeh Abdul Majid yang melabur dengan ASNB sejak skim Amanah Saham Nasional diperkenalkan berkata, wang yang digunakan sebagai pelaburan mesti daripada pendapatan lebihan.

“Kita mesti mengelak daripada meminjam untuk membuat pelaburan,” katanya yang mempunyai pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Wawasan (ASW) dan Amanah Saham Didik (ASD).

Amylia Abdul Rahman yang bertugas di CIMB Private Banking pula berkata, generasi muda perlu dididik untuk membuat pelaburan yang betul.

“Paling baik, mulakan dengan unit amanah yang ditawarkan PNB kerana modal pelaburan kita dilindungi,” katanya yang mempunyai pelaburan dalam ASB dan ASW.

Pasangan suami isteri yang menetap di Melbourne, Australia, Saiful Amri Mohd Nasir dan Nor Hana Nazimuddin berpendapat rakyat Malaysia bertuah kerana mempunyai produk pelaburan seperti ditawarkan PNB.

Sementara itu, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Aziz Shamsuddin yang terbabit secara tidak langsung dalam penubuhan PNB 30 tahun lalu berkata, kejayaan yang dicapai PNB amat mengagumkan.

“Pulangan yang diberikan sewajarnya tidak hanya diukur menerusi pembayaran dividen, tetapi dari segi sumbangan PNB kepada masyarakat, seperti penawaran biasiswa, melahirkan profesional Bumiputera dan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat,” katanya.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90