Sukan Universiti ASEAN Ke-14


Sukan Universiti ASEAN (AUG) Ke-14 dibuka dengan rasmi di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam dengan Malaysia membuka gelanggang meraih satu emas dan dua gangsa untuk mendahului carta pungutan pingat.

Walaupun temasya ini sudah bermula 11 Disember lalu tetapi upacara perasmian yang disempurnakan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khalid Nordin hanya dilangsungkan semalam dalam suasana meriah dan penuh warna-warni.

Apa yang menarik, perasmian temasya yang mula diperkenalkan pada 1981 itu diiringi dengan kejayaan Malaysia meraih emas pertama menerusi acara boling perseorangan lelaki dan gangsa menerusi boling perseorangan lelaki dan wanita.

Seperti temasya-temasya sukan lain, majlis perasmian semalam bermula dengan perarakan masuk 10 kontinjen negara yang bertanding sambil diiringi orkestra dari UiTM.

Bermula dengan kontinjen Brunei, ia diikuti Kemboja, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste dan Vietnam sebelum tuan rumah, Malaysia muncul sebagai kontinjen terakhir yang masuk.

Atlet taekwondo negara, Elaine Teo kemudiannya diberi penghormatan menyalakan obor temasya sambil dibantu Farhan Harun (tinju), Syukri Abdul Mutalib (hoki) dan Cheng Chu Sian (memanah).

Sambil diselang-selikan dengan persembahan pentomen, nyanyian dan kebudayaan daripada 7,000 penuntut dan pensyarah UiTM, upacara menaikkan bendera kemudiannya dilangsungkan sebelum dua atlet kebangsaan, Roslinda Samsu (olahraga) dan Kelvinder Singh (hoki) mengetuai bacaan ikrar mewakili keseluruhan 1,818 atlet yang bertanding.

Penutup kepada upacara perasmian semalam dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api selama lima minit.

Temasya kali ini dianggap terbesar kerana 10 kontinjen kecuali Myanmar yang menarik diri menghantar ramai atlet berikutan pertambahan bilangan acara.

Sebanyak 22 acara dipertandingkan pada temasya edisi ke-14 ini dengan menawarkan 222 pingat emas kesemuanya.

Malaysia yang menjadi tuan rumah buat kali ketiga selepas 1984 dan 1993 meletakkan sasaran meraih 100 pingat emas.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url