TIA urus pelaburan wang royalti minyak


Kerajaan pada prinsipnya meluluskan penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) untuk mengendalikan pelaburan wang royalti minyak negeri ini dengan dana permulaan bernilai RM10 bilion.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penubuhan TIA yang merupakan cadangan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada mesyuaratnya semalam.

Menurutnya, TIA akan menggunakan pendapatan daripada hasil royalti minyak untuk membuat pelaburan di dalam dan luar negara menerusi pasaran bon bagi menjamin kelangsungan pendapatan negeri pada masa depan.

“Konsepnya ialah kerajaan negeri melabur bukan saja di Terengganu tetapi juga di luar negara. Mungkin sedikit (labur) di Terengganu dan sebahagian besar di luar Terengganu.

“Seandainya minyak pupus, Terengganu dengan langkah ini akan dapat punca pendapatan tambahan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan cek royalti minyak berjumlah RM408.6 juta kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said di sini hari ini.

Menurut Najib, royalti berkenaan adalah bagi akaun 2007/2008 setelah ditolak segala kos pembangunan yang dilaksanakan di Terengganu.

“Kita tutup semuanya (akaun), apa kita hutang kepada kerajaan negeri dianggap sudah selesai,'' jelasnya.

Ditanya sama ada kerajaan akan mengurangkan peruntukan pembangunan berikutan pendapatan daripada wang royalti itu jelasnya, ia akan ditentukan selepas menilai kriteria berdasarkan kemajuan, pendapatan perkapita negeri dan sebagainya.

Timbalan Perdana Menteri yakin pembangunan di Terengganu bertambah rancak pada masa depan melalui penggunaan wang royalti minyak.

“Kita mesti melihat kepada jangka panjang, maknanya minyak sebagai sumber atau hasil yang diperoleh dalam jangka masa tertentu, oleh itu hasil minyak perlu digunakan untuk meningkatkan produktiviti negeri,” ujarnya.

Najib juga berkata, selepas ini wang royalti minyak akan dimasukkan terus ke dalam akaun negeri menerusi Perbendaharaan Negara setiap tiga atau empat bulan sekali.

“Bila masuk akaun maknanya kita serah bulat-bulat kepada negeri untuk diuruskan sebaik-baiknya. Kita tidak mahu lagi Terengganu berada dalam kelompok negeri yang mempunyai kadar kemiskinan tertinggi,” katanya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url