Kaedah fizikal tak boleh ukur kualiti manusia
Sesi persekolahan yang baru bermula menimbulkan debaran bukan sedikit kepada ibu bapa, terutama murid Tahun Satu yang bakal berdepan cabaran baru alam sekolah.
Bukan saja anak menangis, malah ibu bapa juga ada yang mengalirkan air mata melihat anak mereka yang tidak yakin untuk ditinggalkan bersama teman baru dan guru. Inilah panorama yang berlaku kala awal tahun menjengah, walaupun sesetengah pelajar tidak dapat meneruskan persekolahan seperti rakan lain kerana banjir melanda.
Memang pendidikan pertama bermula dari rumah, tetapi ia tidak berlanjutan begitu kerana sistem pendidikan rasmi yang menjadualkan setiap orang wajib bersekolah apabila berusia tujuh tahun. Waktu berkualiti yang sedikit ketika berada di rumah tentulah tidak mengizinkan proses pembelajaran berlaku dengan sempurna.
Tambahan pula, ramai ibu bapa mempunyai komitmen kepada kerjaya demi agama, bangsa dan negara, lantas mengharapkan pengorbanan guru di sekolah atau pusat pendidikan lainnya mentarbiah anak sebaik mungkin, sehingga berjaya dan cemerlang.
Setiap pelajar mengharapkan diri mereka berjaya, malangnya ada yang tidak menyedari bagaimana caranya untuk mencapai cita-cita. Segelintir antara mereka diserahkan bulat-bulat kepada guru untuk dibimbing, dididik menjadi orang berguna, sehinggalah apabila mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, ibu bapalah orang paling gembira dan mendabik dada sehingga terlupa bagaimana anak mereka dicanai berguna.
Tetapi malangnya apabila tidak lagi menghuni 'sekolah', anak begini akan membawa haluan sendiri, mencorak masa depan sesedap hati, sehingga akhirnya mempertaruhkan ilmu yang dicari dengan apa juga yang mengulit diri tanpa ada 'guru' membimbing lagi.
Ramai ibu bapa yang menyedari pentingnya perhatian dan keprihatinan mereka terhadap anak, membantu guru memperkasakan sekolah dan persatuan, mengambil tahu kegiatan serta aktiviti anak di sekolah serta tidak lokek masa untuk menjengok mereka.
Tentulah anak berasa bangga dan berbesar hati dengan perhatian yang diberikan ibu bapa, lalu menaruh cita-cita untuk membuktikan kemampuan diri kepada semua, berbaloi dengan apa yang dilakukan ibu bapa terhadap mereka.
Pusat tarbiah insan ini tentunya tidak sama dengan tempat lain, yang mungkin infrastrukturnya sama, organisasinya hampir sama, pentadbirannya tidak jauh berbeza tetapi hasil yang akan dikeluarkan adalah tidak sama.
Sekolah melahirkan manusia terdidik dan berilmu, tidak sama seperti kilang pengeluaran yang menitikberatkan penghasilan menepati piawaian yang boleh diukur dengan standard kualiti zahirnya, iaitu mesti tiada cacat cela boleh dikategorikan sebagai kualiti kelas kedua.
Firman Allah yang bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang buruk dan keji, serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benarnya)." (Surah Ali-Imran, ayat 110)
Manusia tidak boleh diukur dengan fizikal untuk menentukan mereka berkualiti. Cacat cela zahirnya pula tidak mengesahkan mereka bodoh dan tidak berakhlak. Itulah susahnya menjadi pendidik yang perkasa di pusat pentarbiahan insan, kerana mereka mesti melahirkan manusia yang mempunyai mental dan peribadi berkualiti tinggi, yang tidak boleh diukur dengan pandangan mata.
Firman Allah yang bermaksud: "Bacalah dengan nama Tuhan-Mu yang menjadikan sekalian makhluk. Tuhan yang menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah dengan nama Tuhan-Mu yang maha pemurah. Tuhan yang mengajar manusia menulis dengan kalam. Tuhan yang mengajar manusia apa yang manusia tidak mengetahuinya." (Surah al-Alaq, ayat 1-5)
Jelaslah bahawa dalam konteks manusiawi, pendidikan bermula daripada proses penerokaan (menggunakan akal) yang perlu disertai dengan asas agama yang kukuh. Antaranya, memulakan proses pencarian ilmu dengan menyebut nama Allah untuk mendapatkan keredaan dan keberkatan-Nya.
Orang yang mencari ilmu atau melakukan apa juga perbuatan, jika dimulakan dengan nama Allah akan dapat mengelak terpesong daripada matlamat sebenar.
Pendidikan yang dalam bahasa Arabnya disebut 'tarbiyah' bermaksud mengembangkan, menumbuhkan atau menyuburkan, berasal dari perkataan 'Rabb' (Tuhan). Kaitan antara pengembangan sesuatu dengan kata asalnya 'rabb' jelas mengaitkan pentarbiahan dengan nilai kehambaan dan ketuhanan.
Dr Abdullah Nashih 'Ulwan, dalam bukunya Tarbiyatul Aulad menyatakan bahawa hanya ada satu cara supaya anak menjadi permata hati dambaan setiap orang tua, iaitu melalui pendidikan yang bersumber nilai Islam.
Kesedaran ibu bapa dalam memulakan pendidikan anak pada peringkat awal dengan mengenalkan mereka kepada Yang Maha Mencipta adalah sebaik-baik cara sepatutnya dilakukan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Menuntut ilmu itu adalah fardu kepada semua orang Islam." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Justeru, kefarduan itu perlu dimulakan dengan sempurna mungkin supaya diberkati Allah.
Guru yang bakal meneruskan tarbiah kepada anak terdidik dengan permulaan yang baik tentunya tidak mempunyai masalah kerana cabaran kehidupan dan sosial semakin meruntun tidak akan menggugat peribadi dan sikap baik.
Tambahan pula, mencari ilmu adalah tuntutan besar agama kerana ia adalah aset dan bekalan kepada setiap individu dalam mengharungi kehidupan penuh liku.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang ingin kebahagiaan di dunia, maka perlu berilmu. Sesiapa yang inginkan akhirat, maka perlu dia berilmu. Dan sesiapa yang inginkan dunia dan akhirat, maka perlulah dia berilmu." (Hadis riwayat Muslim)