Top Ad 728x90

Graduan perlu miliki imej menarik bantu tingkat kualiti diri

Selain kelayakan akademik tinggi, pembentukan imej dan penampilan sesuai antara faktor yang perlu diambil kira graduan dalam usaha meningkatkan daya saing bagi mendapatkan pekerjaan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad, berkata penampilan menarik membantu meningkatkan pembinaan kualiti diri dan imej lepasan institusi pengajian tinggi dalam menangani persaingan kerjaya yang kompetitif ketika ini.

Katanya, graduan beragama Islam juga perlu menampilkan imej anggun dan sesuai dengan peredaran masa di alam pekerjaan tanpa mengenepikan batas agama.

“Selain kecemerlangan akademik, pembentukan imej menarik dan sesuai dengan kehendak semasa perlu diambil kira dalam membuat persediaan memasuki pasaran pekerjaan.

“Bagi graduan beragama Islam, pilihlah pakaian yang menonjolkan keunggulan dan kesopanan selari dengan peredaran zaman serta berteraskan ajaran agama.

“Menerusi program keterampilan seumpama ini, pelajar diharap dapat memanfaatkan kemahiran dan pengetahuan untuk membentuk imej diri,” katanya ketika berucap merasmikan Program Penggalakan Keterampilan Anggun (Peka) 2009 anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), di kampus Bandar Baru Nilai, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Usim, Prof Datuk Dr Muhamad Muda dan Pengarah Pusat Perkembangan Strategik & Hubungan Korporat Usim, Prof Mohammad Alias.

Program enam hari anjuran Unit Kebudayaan Hal Ehwal Pelajar Usim bertujuan meningkatkan kesedaran dan rasa cinta pelajar kepada rekaan busana kontemporari, selesa dan terkini.

Antara pengisian program Peka adalah pengedaran buletin dan majalah fesyen busana muslimah, peragaan fesyen Butik Hajaba, bengkel kecantikan, persembahan kebudayaan serta jualan gerai kelengkapan muslimah.

Sementara itu, Dr Muhamad, berkata penganjuran program itu diharap mampu meningkatkan imej dan keterampilan pelajar di kalangan masyarakat terutama dalam pasaran pekerjaan.

Beliau, turut menyarankan pelajar mengambil kesempatan menimba pengetahuan dan pengalaman berkaitan pembangunan perniagaan daripada usahawan yang menyertai program berkenaan.

“Saya harap pelajar bukan saja dapat pengetahuan mengenai fesyen, malah panduan serta pengalaman ditempuh usahawan yang menyertai program ini untuk pedoman mereka pada masa akan datang,” katanya.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90