Jumaat, Februari 27, 2009

Kadar tol lima lebuh raya naik 1 Mac

Kadar tol di lima lebuh raya akan dinaikkan di antara 0.68 sen hingga 50 sen berkuatkuasa 1 Mac ini selaras dengan terma perjanjian konsesi yang telah ditandatangani antara pihak kerajaan dan pemegang konsesi lebuh raya tersebut.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata kenaikan kadar tol itu melibatkan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Bertingkat AmpangKuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

Bagi PLUS, kadar kenaikan tol untuk sistem kutipan tol tertutup PLUS (Lebuhraya E1 dan E2) akan dinaikkan sebanyak 0.68 sen sekilometer bagi kenderaan Kelas 1, bagaimanapun kenaikan itu tidak melibatkan tol di Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, Tambak Johor dan Bangunan Sultan Iskandar, katanya pada sidang akhbar di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata, SPRINT-Kerinchi dan Damansara Link, kadar tol dinaikkan antara 30 sen dan 50 sen bagi kenderaan kelas satu manakala bagi AKLEH, kadar tol dinaikkan sebanyak 50 sen bagi kenderaan Kelas 1.

"Kadar tol di Lebuhraya BESRAYA dinaikkan sebanyak 10 sen bagi kenderaan Kelas 1 dan bayaran hanya dibuat di Plaza Tol Mines berikutan Plaza Tol Salak Jaya ditutup pada 24 Februari lepas.

Sementara itu bagi Lebuhraya NPE pula, kadar tol dinaikkan sebanyak 40 sen bagi kelas kenderaan yang samaMohd Zin berkata kenaikan tol tersebut sangat kecil sambil memberi contoh bahawa pengguna kenderaan Kelas 1 yang membuat perjalanan menggunakan PLUS dari Jalan Duta ke Bukit Raja dengan jarak 34 kilometer mulai 1 Mac ini, hanya perlu membayar tambahan kadar tol sebanyak 30 sen sahaja daripada RM4.60 kepada RM4.90.

Katanya, dengan pemansuhan Plaza Tol Salak Jaya yang ditutup pada Selasa lepas, pengguna BESRAYA pula dari Jalan Istana ke pekan Sungai Besi tidak perlu lagi membayar tol.

Beliau berkata di samping itu, tol di lebuh raya PLUS, SPRINT dan AKLEH sepatutnya dinaikkan pada 1 Jan 2008 dan telah ditangguhkan sehingga Sabtu ini, iaitu penangguhan selama 14 bulan, di mana kerajaan terpaksa membayar pampasan berjumlah RM245 juta.

Sebanyak RM177 juta pampasan dibayar kepada PLUS, RM38 juta kepada SPRINT dan RM30 juta kepada AKLEH, katanya.

Menteri Kerja Raya itu berkata kenaikan kadar tol itu telah diluluskan oleh jemaah menteri setelah menimbangkan permohonan daripada pemilik konsesi lebuh raya.

Memandangkan dokumen perjanjian konsesi lebuh raya antara pihak kerajaan dan pengendali lebuh raya kini sudah menjadi dokumen awam , rakyat boleh menelitinya, katanya.

Malah rakyat boleh dapat melihat mengenai jangkaan kadar tol mengikut tahun serta jumlah pampasan yang terpaksa ditanGgung oleh kerajaan, tambahnya.

Mohd Zin menjelaskan, pengguna lebuh raya bagaimanapun mempunyai pilihan untuk menggunakan laluan alternatif sedia ada di mana 99 peratus daripada jajaran lebuh raya negara mempunyai laluan alternatif yang baik tanpa tol.

Sebagai contoh, katanya bagi pengguna yang tidak mahu menggunakan Lebuhraya SPRINT, mereka boleh menggunakan laluan hubungan Damansara untuk ke Kuala Lumpur yang merupakan laluan bebas tol.

Bagi pengguna di sekitar Ampang, Taman Datuk Keramat, Taman Keramat, Taman Setiawangsa dan Taman Lembah Keramat pula mereka boleh menggunakan Jalan Jelatek ke Jalan Ampang atau menggunakan Jalan Datuk Keramat sekiranya ingin ke Kuala Lumpur atau sebaliknya, katanya.

"Trafik dari Balakong, pekan Sungai Besi dan Seri Kembangan boleh menggunakan persimpangan lampu isyarat di South City Plaza menghala ke Serdang Perdana dan menggunakan persimpangan lampu isyarat di Mint Hotel menuju ke pusat bandar, Puchong dan Shah Alam," tambahnya.

Beliau berkata sementara pengguna dari Shah Alam, Subang Jaya dan Klang untuk ke pusat bandar Kuala Lumpur boleh menggunakan laluan Lebuhraya Persekutuan 11 atau sebaliknya.

"Pengguna dari pusat bandar Kuala Lumpur atau selatan Kuala Lumpur pula boleh menggunakan Jalan Kelang Lama atau sebaliknya," katanya.

- BERNAMA

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts