Top Ad 728x90

,

Tabung Haji bayar dividen 5 peratus untuk 2008

Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) hari ini mengumumkan pembayaran dividen sebanyak lima peratus bagi tahun kewangan 2008 tanpa mengisytiharkan sebarang pemberian bonus.

Jumlah dividen kali ini menyamai tahun lalu tetapi apa yang berbeza tiada bayaran bonus sebanyak dua peratus diberikan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Tabung Haji tidak memberi bonus pada tahun ini disebabkan oleh kekangan dalam rizabnya.

''Pulangan (dividen) yang diberikan ini adalah kompetitif berbanding apa yang ditawarkan oleh institusi perbankan Islam yang lain,'' katanya pada sidang akhbar selepas majlis pengumuman dividen dan prestasi kewangan Tabung Haji di sini hari ini.

Katanya, Tabung Haji memperuntukkan sebanyak RM906 juta bagi pembayaran dividen.

Ahmad Zahid berkata, dengan kadar itu, Tabung Haji akan membawa baki keuntungan selepas pembayaran dividen sebanyak RM95 juta pada tahun ini untuk menambah rizab terkumpulnya daripada RM369 juta kepada RM464 juta.

Beliau berkata, dalam situasi yang semakin sukar Tabung Haji akan mencari alternatif pelaburan lain untuk mengimbangi pendapatannya pada tahun ini namun enggan mengulas lanjut mengenai strategi tersebut.

Tabung Haji meraih pendapatan berjumlah RM1.5 bilion pada tahun lalu, merosot sebanyak 18 peratus atau RM344 juta berbanding tahun sebelumnya.

Keuntungan selepas zakat yang dicatatkan berjumlah RM1 bilion, menyusut RM70 juta atau tujuh peratus berbanding RM1.071 bilion pada tahun sebelumnya.

Zahid berkata, penurunan itu disebabkan oleh pendapatan yang lebih rendah direkodkan daripada pelaburan ekuiti yang merupakan sumber terbesar pendapatan pada tahun 2007, diikuti dengan kelembapan pasaran ekuiti dan kemelesetan ekonomi global.

Tambah beliau, sumber utama pendapatan Tabung Haji pada tahun ini adalah daripada sumbangan keuntungan dividen (39 peratus), urus niaga saham (24 peratus), pelaburan pendapatan tetap (16 peratus), pelaburan pasaran wang (13 peratus) dan pelaburan hartanah (lapan peratus).

Zahid berkata, kos pengurusan Tabung Haji untuk tahun lalu juga meningkat pada kadar sebanyak 25 peratus atau RM81 juta kepada RM402 juta, yang sebahagian besarnya disebabkan oleh tanggungan kos haji berjumlah RM75 juta.

Pada tahun 2008, Tabung Haji memperuntukkan sebanyak RM38 juta sebagai zakat perniagaan berbanding RM37 juta pada 2007.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90