Cabaran 12 finalis Kacak Bergaya


Mula diperkenalkan sejak 1995, kini, ruangan Kacak Bergaya (dahulunya dikenali sebagai Jejaka Minggu Ini) telah lebih 10 tahun menjadi penyeri kepada sisipan Pancaindera di akhbar Mingguan Malaysia.

Telah menampilkan ramai selebriti popular tanah air untuk menghiasi ruangan tersebut, ia juga dilihat sebagai platform kepada mereka yang mahu melangkah mencipta nama dalam bidang seni.

Antara wajah-wajah yang pernah diketengahkan menerusi ruangan tersebut adalah Mazin Ameen Siraj, Iqram Dinzly, Fizo Omar, Danny (X-Factor), Faizal Yusop dan Ryzal.

Tidak ketinggalan model Norazlan Nordin, penyampai radio Suria FM, Tuah Zulqarnain serta beberapa jaguh sukan negara seperti Malik Tobias, Zaiful Zainal Abidin, Shamsuri Ahmad dan S. Kuhan.

Bertahun berlalu, ruangan Kacak Bergaya mula mengorak langkah untuk lebih mengkomersialkan namanya dengan menganjurkan Pertandingan Kacak Bergaya Pancaindera 2009.

Mula dipertandingkan sejak Julai tahun lalu, ia mendapat sambutan menggalakkan apabila menerima ribuan penyertaan daripada sang jejaka kacak dari seluruh negara.

Bagaimanapun daripada ribuan penyertaan yang diterima, penganjur telah pun memilih 12 finalis yang akan meneruskan cabaran di peringkat akhir pada 9 Mei ini.

Bakal dilangsungkan di Saloma Bistro, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pemenang berpeluang untuk menjadi jurucakap kepada produk kesihatan lelaki iaitu Vigor keluaran Jamu Mak Dara Sdn. Bhd., yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Selain itu, juara akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000 beserta tiket penerbangan pergi-balik ke Perth, Australia tajaan Airasia Berhad.

Tempat kedua pula wang tunai RM2,000 dan tiket pergi-balik ke Bangkok, ketiga (RM1,000 serta tiket pergi-balik ke Phuket). Manakala sembilan pemenang saguhati pula akan menerima wang tunai RM200 seorang.

Selain itu, hadiah pilihan juri pula menerima tiket pergi-balik ke Jakarta.

Finalis-finalis terbabit adalah Mohd. Termizi Roslan, Wan Mohd. Amin Wan Derahman, Mohd. Khairi Mansor, Mohammad Nadzree Kusairi Shariff dan Nur Iz Hirzi Izhar.

Tapak

Turut layak, Mohd. Halim Mohd. Shah, Syed Khairul Syed Abdullah, Mazlan Mokhtar, Hairul Azreen Idris, Mohd. Nazmi Che Nordin, Megat Muhammad Hafifi Megat Mohd. Yusof dan Mohd. Norhalis Shafiq Shamsuri.

Sementara itu, model Aleeza Kasim yang juga pemilik Vouge At Work akan menyumbangkan kemahirannya untuk mengajar 12 finalis berkenaan mengikuti latihan peragaan.

Pertandingan tersebut juga turut mendapat tajaan daripada Gedung Al-Habshee, Dzull D'Classique, Hing Yiap Group, E-Go Hair & Beauty, Unionbay dan Antioni.

Menurut Penolong Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain, ruangan Kacak Bergaya adalah tapak untuk membawa seseorang itu ke dunia penuh glamor.

Jelasnya, ia juga sebagai satu sumbangan Pancaindera bagi membawa wajah-wajah baru untuk diperkenalkan ke dunia seni.

"Menyedari perlunya pendedahan awal untuk memperkenalkan diri, anak-anak muda yang menyimpan hasrat untuk melangkah ke dunia seni telah menggunakan ruangan ini sebagai pendedahan awal mereka,'' katanya ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama 12 finalis dan penaja di ibu pejabat Utusan Melayu (M) Bhd. di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Juri yang akan mengadili Pertandingan Kacak Bergaya Pancaindera 2009 pula ialah personaliti TV3 iaitu Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd. Zin, Presiden Persatuan Pereka Bumiputera, Mahani Awang, pereka fesyen, Radzuan Radzwill dan Pembantu Peribadi kepada Pengerusi Eksekutif AirAsia Berhad, Edd Razhe.

Kata Ku Seman, sebagai platform memasuki dunia glamor, mereka yang telah mendapat tempat menerusi ruangan itu perlu menambah pelbagai ilmu untuk terus maju dalam bidang seni yang diceburi.

Dalam pada itu, Edd berkata, ini merupakan kerjasama pertama yang dilakukan Airasia bersama pihak Utusan Melayu.

"Pertandingan ini sememangnya bagus dalam mencari pelapis kepada dunia seni tanah air. Kami di Airasia berharap akan dapat mewujudkan kerjasama menerusi penajaan bersama pihak Utusan Melayu pada masa akan datang,'' tambahnya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url