U Mobile perkenal U10, U Buddy Service

U Mobile Sdn. Bhd. (U Mobile), penyedia perkhidmatan 3G telah memperkenalkan pelan tambahan pertamanya iaitu, U10 dan tambah nilai baru yang dikenali U Buddy Service bagi menawarkan penjimatan kos untuk pelanggan pascabayarnya.

Kenyataan U Mobile berkata, pelan tambahan U10 itu menawarkan sehingga empat talian tambahan kepada setiap pelan pascabayar U Mobile dengan bayaran bulanan RM10 untuk setiap talian tambahan.

Pelanggan pascabayar yang memiliki talian tambahan hanya membayar 50 peratus daripada yuran tanggungan dan akses setiap enam bulan ke atas langganannya.

U10 juga membenarkan talian tambahan untuk berkongsi masa berbual dengan talian utama.

Sementara itu, U Buddy Service membenarkan pelanggannya membuat panggilan suara secara percuma kepada rakan-rakan dan ahli keluarga di kalangan rangkaian U Mobile tanpa had dengan yuran langganan bulanan untuk perkhidmatan pada harga RM10.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Oh Kwang-Jin berkata, U Buddy Service tidak mengehadkan pelanggan membuat panggilan percuma sekiranya mereka di bawah rangkaian U Mobile seperti mana yang dilakukan oleh syarikat telekomunikasi lain yang mengehadkan hanya 10 atau 11 rakan-rakan dan ahli keluarga.

"Kami peka tentang kelembapan ekonomi semasa. Oleh itu, kami berharap dua perkhidmatan baru ini dapat memberi lebih penjimatan kepada pelanggan dengan mengurangkan telefon bil bulanan," katanya dalam kenyataan itu.

U Mobile yang merupakan penyediaan perkhidmatan telekomunikasi bergerak itu turut menyaksikan 30 peratus kepentingan syarikat dimiliki oleh KT Freetel dari Korea Selatan dan syarikat Jepun, NTT DoCoMo.

Bagi pelanggan prabayar, mereka masih boleh menikmati promosi IDD Bonanza yang telah dilanjutkan sehingga 30 Jun ini.

Promosi itu membenarkan pelanggan membuat panggilan terus antarabangsa (IDD) dan dikenakan caj dengan kadar tempatan sebanyak RM0.70 sesaat ke enam negara termasuk China, Singapura, Indonesia, Vietnam, India dan Bangladesh selain menikmati 20 peratus bonus masa ke udara untuk setiap tambah nilai.

Maklumat lanjut mengenai perkhidmatan-perkhidmatan baru itu dan promosi IDD Bonanza boleh diperoleh dengan melayari laman web www.u.com.my, mengunjungi Pusat Perkhidmatan U Mobile atau menghubungi talian 018-388 1318
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url