Pendidikan Malaysia dikagumi - TPM

Malaysia dikagumi dan disanjung tinggi sebagai salah sebuah negara ahli Komanwel yang jauh ke hadapan dalam bidang pendidikan berbanding negara lain.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejayaan itu adalah hasil komitmen kerajaan yang sentiasa memastikan bidang pendidikan terus menjadi keutamaan sejak sekian lama.

''Bukan saya hendak masuk bakul angkat sendiri, tetapi mereka yang datang ke sini telah melihat sendiri pencapaian kita dalam bidang pendidikan. Mereka kagum apabila melihat Malaysia sudah jauh ke hadapan dalam bidang ini.

''Kita juga aktif memberi sumbangan dalam beberapa aktiviti yang dianjurkan oleh negara Komanwel termasuk membantu negara membangun dan kecil.

''Antaranya pada hari perasmian persidangan, Malaysia telah mengisi tabung biasiswa Komanwel berjumlah 500,000 pound sterling yang akhirnya dapat dimanfaatkan oleh para pelajar yang memerlukan," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar hari terakhir Persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Komanwel Ke-17 (CCEM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Agung Sekretariat Komanwel, Ransford Smith, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, terdapat juga antara negara terbabit meminta secara rasmi bantuan daripada Malaysia untuk memajukan bidang pendidikan di negara mereka.

Antaranya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang kini menjadi salah satu kaedah pendidikan terkini untuk sekolah-sekolah di seluruh negara, katanya.

"Mereka amat tertarik dengan penggunaan ICT yang meluas di sekolah-sekolah seluruh Malaysia. Oleh itu, dalam persidangan kali ini, ada antara negara ahli yang memohon bantuan kita bagaimana caranya untuk mereka menggunakan sistem ICT ini.

''Saya berpendapat mereka amat menyanjung usaha yang dibuat oleh Malaysia terutama dalam memajukan bidang ICT," ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan pernyataan rasmi CCEM Ke-17 yang merumuskan beberapa perkara hasil mesyuarat dua hala dan empat forum yang diadakan.

Sambil menyifatkan persidangan itu sebagai berjaya, beliau berkata, pernyataan rasmi yang diumumkan itu akan dibincangkan lebih lanjut pada Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) akan datang.

''Antaranya kepentingan pendidikan kepada semua kanak-kanak iaitu dengan sasaran golongan ini tidak akan ketinggalan dalam mendapat tahap pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang, kedudukan geografi dan jantina.

''Begitu juga dengan usaha melahirkan lebih ramai guru berkualiti dan profesional selain melaksanakan pentadbiran pendidikan yang baik bagi memastikan mutu pendidikan dalam kalangan negara ahli berada pada tahap terbaik," tambahnya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url