Tak wajar Nasharudin letak jawatan - Harun Taib

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib menegaskan, beliau tidak nampak Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa melakukan sebarang kesalahan besar dalam isu penubuhan kerajaan perpaduan sehingga beliau perlu meletakkan jawatan.

Beliau juga sependapat dengan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang menyatakan adalah terlalu awal untuk meminta Nasharuddin berbuat demikian.

"Saya tidak nampak apa-apa kesalahan besar yang dilakukan sehingga kini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Harun yang juga Pesuruhjaya Pas Terengganu diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meminta Nasharudin melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden parti dan Ahli Parlimen Bachok jika berhasrat meneruskan agenda kerajaan perpaduan.

Berikutan kenyataan tersebut, Azizan dalam reaksinya berkata, masih terlalu awal untuk meminta Nasharudin melepaskan jawatan yang disandangnya sekarang.

Azizan berkata, ia juga bertujuan memberi keadilan kepada Nasharudin dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mencetuskan idea tersebut kerana kerajaan perpaduan belum lagi dilaksanakan.

Abdul Hadi pada hari pertama muktamar parti itu di Shah Alam pada 5 Jun lalu mempertahankan ideanya untuk melaksanakan konsep kerajaan perpaduan kerana yakin ia mampu menyelesaikan banyak masalah yang berlaku di negara ini.

Malah dalam isu itu, Harun dalam kenyataannya semalam berkata, antara asas pembentukan kerajaan perpaduan yang dicadangkan adalah menjadikan Islam sebagai tunjang pemerintahan.

Konsep kerajaan perpaduan juga bukan bererti penyatuan antara Pas dan UMNO kerana dalam kerajaan yang bakal dibentuk, ia membabitkan semua parti di negara ini.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url