Celcom mampu capai sasaran

Celcom (Malaysia) Bhd. yakin mampu mencapai sasaran pendapatan Celcom Blue yang ditetapkan untuk suku ketiga menerusi penganjuran Pertandingan Kejutan Deko! Deko! Deko! Celcom Blue

Naib Presiden Kanan, Pemasaran Celcom, Zalman Aefendy Zainal Abidin berkata, pertandingan itu merupakan produk yang diadakan dengan kerjasama syarikat penyiaran Sistem Televisyen Malaysia Bhd. (TV3).

''Celcom Blue merupakan satu-satunya produk yang ditujukan khas kepada pengguna berusia 25 tahun ke atas dengan tawaran penjimatan panggilan kepada 20 nombor telefon.

''Namun begitu, sasaran sebenar tidak dapat diberi pada waktu ini dan akan diumumkan pada pembentangan kewangan syarikat hujung bulan ini,'' katanya semasa sidang akhbar selepas melancarkan Pertandingan Kejutan, Deko! Deko! Deko! Celcom Blue di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut, Ketua Pegawai Pemasaran, Kumpulan Khidmat Pelanggan Media Prima Bhd., Shareen Ooi dan pereka hiasan dalaman, Rizalman Ibrahim.

Zalman berkata, pada bulan puasa biasanya jumlah panggilan yang dibuat berkurangan dan diharap daripada pertandingan tersebut dapat kekal seperti biasa.

Menurut beliau, pelaburan bagi mengadakan pertandingan tersebut adalah lebih RM2 juta termasuk hadiah kemenangan dan pengiklanan.

Tambah beliau, Celcom akan melancarkan satu lagi kempen dalam tempoh tiga minggu diikuti kempen-kempen lain dalam jangka masa beberapa bulan akan datang.

''Kempen-kempen tersebut akan melibatkan produk-produk lain Celcom seperti X-Pax, Celcom Postpaid dan lain-lain,'' katanya.

Menyentuh tentang Pertandingan Kejutan Deko! Deko! Deko! Celcom Blue

Menurutnya, kempen tersebut menawarkan hadiah berupa pakej dekorasi ruang tamu dan hadiah harian terdiri daripada barangan elektrik bernilai lebih RM1 juta ringgit.

Katanya, hadiah pakej dekorasi tersebut akan dikendalikan sendiri oleh Rizalman Ibrahim.

Katanya, kempen itu terbuka kepada semua penonton TV3 dan Pelanggan Celcom Blue yang menyaksikan program disiarkan di TV3 sepanjang kempen tersebut berlangsung dengan menjawab soalan-soalan mudah.

Zalman berkata, pertandingan akan berlangsung selama dua bulan bermula 22 Ogos hingga 23 Oktober itu merupakan hari pertama puasa hingga genap sebulan sambutan hari raya berlangsung.

''Ia merupakan masa yang sesuai diadakan pertandingan ini kerana setiap orang inginkan rumah mereka cantik ketika musim perayaan ini,'' katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url