'Siasat blog hina Islam'

Datuk Seri Najib Razak mengarahkan polis menyiasat kenyataan berbaur hasutan dan menghina Islam yang disebarkan menerusi laman blog beberapa pemimpin pembangkang mengikut Akta Hasutan 1948 kerana boleh membangkitkan ketegangan kaum.

Perdana Menteri berkata, tindakan boleh diambil jika siasatan mendapati kenyataan itu mempunyai asas dan menjurus kepada suasana yang boleh mencetuskan keadaan tidak tenteram.

"Saya minta pihak berkuasa mengambil tindakan segera. Dalam apa keadaan sekali pun, kita ada undang-undang iaitu Akta Hasutan dan ia bukan saja menghala kepada Islam tetapi untuk semua agama dan kaum dalam negara kita," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Menara Datuk Onn di sini, semalam.

Najib diminta mengulas kenyataan pihak tertentu yang disebarkan menerusi internet dan disifatkan semakin melampaui batas sejak kebelakangan ini.

Perdana Menteri berkata, beliau percaya pihak berkuasa akan menyiasat jika menerima laporan berhubung perkara itu dan akan sabitkan kesalahan jika perbuatan menghina sesiapa saja di negara ini boleh menjurus kepada hasutan.

"Tindakan boleh diambil terhadap sesiapa saja jika sesuatu perkara itu dikaitkan dengan hasutan," katanya.

Antara blog yang dikatakan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan menghina Islam adalah milik Ketua Pemuda DAP, Loke Siew Fook menerusi laman blognya, lokesiewfook.blogspot.com.

Selasa lalu, Loke dikatakan membidas penceramah bebas, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah kerana menganggap kenyataan penceramah bebas itu dalam rencana yang disiarkan sebuah akhbar harian yang merujuk taraf anak dalam kandungan tunang mendiang Teoh Beng Hock sebagai anak luar nikah boleh menjejaskan emosi keluarga Setiausaha Politik Exco Selangor.

Bagaimanapun beberapa hari kemudian Loke menerusi laman blognya mendakwa beliau tidak menghina Islam tetapi tidak bertanggungjawab terhadap ulasan pembaca blog berbuat demikian.

Selain itu, dalam laman blognya pada 6 Ogos lalu Loke membuat tohmahan serta memburuk-burukkan kesultanan Perak.

Seorang lagi pemimpin pembangkang, Jeff Ooi pula mengaitkan Islam sebagai ekstremis atau pengganas apabila mengeluarkan kenyataan yang merujuk Jamaah Islah Malaysia (JIM) sebagai ekstremis kerana memperjuangkan syariah Islam.

Ooi yang juga Ahli Parlimen Jelutong menuduh seorang Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Mohd Razali Abdullah sebagai ekstremis Islam dengan cuba menjadikan Malaysia negara menggunakan undang-undang Islam kerana menganggotai JIM.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Amiha Ayu
    Amiha Ayu Selasa, 11 Ogos 2009 pada 10:03:00 PG SGT

    susah nak komen...especially bila sesetengah pihak tak dapat langsung nak ada sifat sensitivity....
    :(

Add Comment
comment url