Pengisian hari raya untuk generasi muda

Oleh ABDUL RAHMAN MAHMUD

Hari Raya Aidilfitri terus disambut penuh kesyukuran oleh umat Islam di negara ini yang berjumlah lebih 16 juta orang. Ia dirayakan penuh meriah oleh semua lapisan generasi.

Namun dalam kemeriahan kita menyambut hari raya, kita harus memikirkan apakah pengisian yang sesuai untuk generasi muda kita? Ini kerana ada di kalangan generasi muda kita yang tersimpang dalam menyambut hari raya. Bagi sesetengah mereka hari raya dianggap sebagai pesta muda mudi untuk berseronok dan bergembira.

Generasi muda kita seolah-olah dibiarkan sahaja dalam menentukan pilihan dan cita rasa mereka dalam menyambut hari raya. Hal ini sekiranya dibiarkan berlarutan sudah tentu akan memadam makna dan pengertian Aidilfitri yang sebenar.

Ini kerana Aidilfitri membawa maksud kembali kepada fitrah. Bulan Ramadan yang dilalui selama sebulan berperanan untuk menyucikan diri manusia daripada segala dosa dan kemaksiatan. Ia mengeluarkan manusia daripada kegelapan dan kemungkaran agar kembali kepada fitrah insan yang mengabdikan diri seutuhnya kepada Allah SWT.

Bagaimanapun pengertian Aidilfitri ini dicalarkan dengan pengisian hari raya yang tidak bermanfaat di kalangan generasi muda. Ada di antara remaja kita menghabiskan masa di hadapan TV menonton rancangan filem, hiburan dan persembahan artis yang dianggap lebih menarik perhatian mereka.

Ini menyebabkan mereka 'malas' untuk melakukan amalan ziarah menziarahi di kalangan sesama keluarga dan jiran tetangga.

Selain itu ada dalam kalangan generasi muda pula yang menghabiskan masa berpeleseran di kompleks membeli-belah, pawagam, kompleks boling dan pusat hiburan. Kelihatan pergaulan bebas antara remaja lelaki dan perempuan juga berlaku.

Ada antara mereka yang berpakaian menjolok mata sehingga mendedahkan aurat, berpegangan tangan dan berpelukan antara lelaki dan perempuan.

Amat menyedihkan lagi didapati mereka adalah remaja yang berumur dalam lingkungan belasan tahun. Apakah yang bakal berlaku seandainya perkara ini terus membudaya di kalangan generasi kita pada masa akan datang? Tidak cukup dengan pergaulan bebas di pusat hiburan ada remaja yang menghabiskan masa cuti hari raya dengan merempit di jalan raya.

Situasi ini seharusnya dipandang serius oleh semua pihak. Kebebasan yang diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak tidak seharusnya dijadikan 'tiket' untuk remaja berseronok sehingga menjual maruah diri dan merosakkan nama agama.

Dalam masa yang sama ibu bapa harus memantau pergerakan anak-anak semasa cuti hari raya. Kita tidak inginkan anak-anak remaja Muslim menjadi hamba kepada keseronokan. Apa yang kita impikan hari raya ini disambut dengan penuh pengertian dan pengisian yang bermakna.

Dalam hal ini ibu bapa seharusnya menyediakan pengisian program hari raya yang khusus untuk anak-anak remaja mereka.

Ini bukan bertujuan untuk mengongkong mereka bersosial. Tetapi ia bertujuan mengawal mereka daripada pengaruh negatif yang boleh merosakkan akhlak dan pemikiran remaja Muslim kita.

Sekurang-kurangnya ada empat pengisian program hari raya yang boleh dilakukan oleh ibu bapa khususnya kepada generasi muda.

Pertama; program ziarah keluarga.

Ia perlu dijadikan kewajipan di kalangan anak-anak remaja kita. Amalan ziarah menziarahi antara sesama saudara mara perlu dibudayakan.

Di samping itu berhari raya dengan memakai pakaian yang bersopan dan menutup aurat adalah suatu perkara yang harus diteruskan. Ini kerana ramai di kalangan generasi muda kita yang memandang enteng terhadap amalan menutup aurat.

Menziarahi datuk, nenek dan seluruh ahli keluarga yang berdekatan amat penting dilakukan. Ia dapat mengukuhkan silaturahim dan ukhwah di kalangan keluarga umat Islam. Dalam masa yang juga ia dapat melahirkan rasa hormat dan kasih sayang di kalangan golongan tua dan muda.

Kedua; mengunjungi tanah perkuburan. Mengunjungi pusara saudara mara yang telah meninggal dunia merupakan amalan murni yang mempunyai hikmah yang amat besar. Amalan ini dapat melahirkan rasa insaf di kalangan remaja tentang hakikat kehidupan yang cuma sementara.

Ia juga dapat menjalin rasa kekeluargaan tinggi di kalangan remaja.

Ketiga; amalan solat berjemaah.

Di kalangan anak-anak remaja, kesempatan untuk berkumpul bersama-sama boleh dimanfaatkan untuk menunaikan solat fardu secara berjemaah.

Bapa menjadi imam kepada anak-anak dan menyampaikan amanat sempena hari raya. Amalan bersalaman dan bermaaf-maafan dapat mengeratkan tali silaturahim di kalangan ahli keluarga.

Dalam masa yang sama amalan solat berjemaah dapat membina kekuatan iman dan membina benteng pertahanan rohani yang mantap.

Keempat; amalan rumah terbuka untuk anak remaja.

Rakan-rakan anak remaja kita perlu diraikan dalam majlis rumah terbuka yang khusus untuk mereka. Dengan ini ibu bapa dapat mengenali siapakah rakan anak-anak remaja mereka.

Majlis seumpama ini juga dapat mengelak daripada perbuatan sumbang yang menyimpang daripada ajaran Islam. Hal ini dapat menghindarkan anak-anak remaja daripada menghabiskan masa di kompleks membeli-belah dan pergaulan bebas tanpa batasan.

Masih belum terlewat untuk kita memimpin generasi muda bagi menghayati Aidilfitri dengan pengisian bermanfaat.

Marilah kita bersama-sama menjadikan Hari Raya Aidilfitri ini sebagai titik perubahan untuk membina generasi muda Islam yang menghayati ajaran Islam dengan seutuhnya.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url