Myfriends2u.com dilancar

Portal sembang sosial baru bagi rakyat negara ini, Myfriends2u.com yang dilancarkan semalam mampu menjadi alternatif kepada orang ramai, khususnya belia tempatan untuk berkomunikasi dan menyebarkan maklumat terkini seperti dilakukan menerusi Facebook atau Twitter.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata beliau yakin Myfriends2u yang dihasilkan syarikat tempatan, Nextpert Sdn Bhd itu akan mendapat sambutan kerana berwajah Malaysia, mesra pengguna dan memenuhi cita rasa generasi muda.

Katanya, pelancaran portal ini menepati trend belia di Malaysia yang menjadikan kegiatan melayari Facebook dan Twitter sebagai hobi masa lapang.

“Golongan muda terutama ahli Gerakan Belia 4B perlu menggunakan sepenuhnya portal laman sosial Myfriends2u untuk mendaftarkan keahlian baru, menyebarkan idea dan maklumat terkini mengenai kegiatan mereka kepada rakyat di negara ini.

“Myfriends2u bukan saja menjadi alternatif kepada pengguna Facebook dan Twitter, malah lebih sesuai untuk kita kerana memaparkan wajah sebenar Malaysia," katanya ketika berucap melancarkan portal Myfriends2u sempena sambutan Hari Belia Negara 2010 di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini, semalam.

Pada majlis berasingan, Ahmad Shabery, berkata lebih 100,000 pengunjung dijangka memeriahkan sambutan Hari Belia Negara 2010 selama tiga hari yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.

Beliau turut meminta orang ramai yang ingin mengunjungi karnival Hari Belia Negara 2010 datang awal dan mendapatkan maklumat trafik terkini melalui hebahan di radio bagi memudahkan perjalanan ke tapak karnival berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya juga menyediakan kemudahan kerusi roda untuk pengunjung warga emas.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url