Ekspo Hari Belia tawar lebih 10,000 peluang pekerjaan
Syarikat itu termasuk Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), AirAsia, Proton Edar, Astro dan Western Digital yang mengambil bahagian dalam ekspo sempena sambutan itu selama tiga hari mulai semalam.
Ekspo itu menawarkan lebih 10,000 peluang pekerjaan dan latihan kepada belia.
Selain peluang pekerjaan, ekspo yang bertemakan ‘Seribu Peluang, Sejuta Keriangan itu membabitkan penyertaan 80 agensi latihan dan pendidikan awam serta swasta bagi memberi peluang kepada belia yang berminat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi sama ada aliran akademik atau kemahiran.
Antara agensi latihan dan pendidikan awam yang terbabit adalah Kolej Komuniti, Giat Mara, Jabatan Tenaga Manusia dan Universiti Kuala Lumpur.
Ekspo berkenaan dirasmikan Setiausaha Sulit Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Dr Azmi Setapa, yang mewakili menterinya, Datuk Mustapa Mohamed, semalam.
Kira-kira 200,000 belia dijangka menghadiri dan menyertai sambutan itu. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga akan turut menyampaikan amanat sempena Hari Belia Negara 2010 serta menyampaikan anugerah belia negara kepada lapan belia yang menyumbang kepada pembangunan golongan itu di negara ini, hari ini, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Sambutan dengan tema 'Belia Kreatif Pemacu Pembangunan Negara', akan merangkumi lapan kluster iaitu Kesenian, Ekspo dan Pameran, Sukan, Penyertann Swasta, Kerohanian dan Kebajikan, Kreatif dan Inovatif, Kemajuan dan Pengiktirafan Belia serta Kesukarelaan.
- BERITA HARIAN