Hari Terbuka Muzium TUDM


Sempena sambutan Ulang Tahun ke-52 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 1 Jun lalu, Muzium TUDM telah mengadakan Hari Terbukanya hari ini bermula 8 pagi hingga 5 petang di Pangkalan Udara Kuala Lumpur secara percuma kepada orang ramai.

Para pengunjung berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat aset-aset TUDM yang telah digunakan sejak penubuhannya pada tahun 1958.

Antara aset-aset yang dipamerkan termasuklah pesawat-pesawat yang telah menjadi nadi TUDM sepanjang melaksanakan tugas mengawal kedaulatan ruang angkasa negara.

Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Rodzali Daud telah hadir untuk merasmikan Pembangunan Fasa Kedua Muzium TUDM.

Dalam satu sidang media sejurus itu, beliau memberitahu, TUDM sedang giat merangka latihan dengan Amerika Syarikat, negara Asean serta beberapa negara Asia yang lain bagi melahirkan generasi baru pasukan tentera udara.

Rodzali berkata, ini penting kerana TUDM ingin memastikan anggota mereka mampu mengendalikan aset-aset canggih yang akan dibawa masuk kelak.

"Latihan terbaru kita akan meliputi pemakaian doktrin dan strategi-strategi baru dari negara tersebut.

"Kita nak ambil dan menyesuaikan diri dengan doktrin kita," katanya.

Rodzali berkata, latihan bersama negara terbabit akan merangkumi semua aspek iaitu pesawat serta sistem persenjataan.

Sehubungan itu, katanya, staf mesti bersedia dalam aspek ini kerana semua teknologi terkini adalah berlandaskan teknologi.

Dalam pada itu, majlis penyerahan pesawat Eagle oleh Composites Technology Research Malaysia (CTRM) kepada pihak Muzium TUDM turut diadakan.

Rodzali juga melawat ke hangar, khemah pameran, Dataran Wira Angkasa, penyerahan koleksi peribadi oleh Mantan PTU di galeri Panglima Tentera Udara di Muzium TUDM.

Selain kehadiran dif-dif kehormat, Hari Terbuka kali ini turut dihadiri bekas-bekas Panglima TUDM.

Antaranya, Tan Sri Sulaiman Sujak, Datuk Seri Abdullah Ahmad, Tan Sri Nik Ismail Nik Mohamed dan Tan Sri Mohd Yunus Mohd Tasi.

Selain itu, orang ramai berpeluang menyaksikan pelbagai aktiviti lasak dengan pesawat TUDM, pertunjukan Aerobatic Pesawat Pitts Special.

Lain-lain aktiviti termasuk belon panas, flight simulator, pony ride, pameran kerjaya dan demonstrasi memadam kebakaran pesawat.

- MSTAR
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url