Setiausaha Umno bahagian Gua Musang Abdul Aziz Yusof calon BN Galas


Setiausaha Umno bahagian Gua Musang Abdul Aziz Yusof menganggap pemilihannya sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil DUN Galas bukan anugerah sebaliknya satu tanggungjawab yang perlu dipikul dengan baik.

Abdul Aziz, 49, berkata beliau tidak akan mampu membawa kemenangan kepada BN jika tidak mendapat sokongan daripada semua pihak.

Justeru beliau mengharapkan semua pihak agar redha dengan pemilihannya dan berkerjasama bagi merampas kembali kerusi DUN itu.

"Saya redha dengan ketetapan ini (terpilih sebagai calon) dan saya harap semua pihak juga redha.

"Tetapi saya bukan faktor utama untuk mencapai kemenangan, saya memerlukan sokongan daripada semua," katanya ketika berucap selepas diumum sebagai calon kerusi DUN Galas oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Gua Musang hari ini.

Abdul Aziz, dari Kampung Bertam Baru, juga berharap tunjuk ajar Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah akan membantunya dalam kempen pilihan raya kecil itu.

Bekas pengurus pejabat operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) itu berkata beliau hanya mengetahui namanya dipilih sebagai calon pagi ini.

Sementara itu, Tengku Razaleigh meminta anggota Umno dan BN bersatu hati dalam memberikan sokongan kepada calon yang dipilih.

"Kita mahu kemenangan besar, bagilah sokongan bulat kepada calon yang dipilih," katanya.

- Bernama
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url