Top Ad 728x90

,

ANGKASA tubuh koperasi perbankan Feb 2011

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) akan melancarkan penubuhan sebuah Koperasi Perbankan Angkasa (KPA) pada Februari depan, bagi memberi kemudahan kepada 7,688 koperasi di bawahnya di seluruh negara.

Presiden Angkasa Prof Datuk Dr Mohd Ali Baharum berkata KPA itu akan mempunyai modal berbayar RM300 juta dan surat kelulusan penubuhan telah diterima daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia pada bulan ini.

"Sudah banyak koperasi yang sedia memberi komitmen untuk memberi modal. Angkasa dibenarkan melabur 8.0 peratus dari modal berbayarnya, iaitu RM24 juta manakala koperasi lain boleh melabur sekurang-kurangnya RM1,000 sehingga maksimum RM15 juta," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Kempen Keahlian KPA Zon Selatan, dari kalangan koperasi di Melaka hari ini.

Mohd Ali berkata Angkasa sudah mengumpul modal RM50 juta dan penuh yakin jumlah itu (RM300 juta) mudah dikumpulkan malah ia dijangka menerima lebih daripada jumlah itu.

Dengan penubuhan KPA itu kelak, banyak bidang perniagaan boleh dibiayai oleh koperasi di seluruh negara, yang mempunyai 7.9 juta ahli, sehingga November lepas.

Antara cadangan produk yang akan dilaksanakan ialah membiayai modal untuk koperasi kredit memberi pinjaman peribadi kepada anggota mereka.

Skim Pinjaman perumahan secara konsep Musyarakah Mutanaqisah dan membantu membiayai projek hartanah milik koperasi.

Beliau berkata ciri-ciri produk perbankan ini akan memberi situasi menang-menang antara koperasi dan KPA dan tidak bersaing dengan mana-mana bank koperasi yang telah beroperasi di negara ini.

Mohd Ali juga berkata dengan tertubuhnya KPA, semua masjid besar di seluruh negara, yang kebanyakannya mempunyai banyak sumber kewangan yang kukuh, boleh menubuhkan koperasi kariah masjid masing-masing dan memajukan aset dan tanah wakaf masjid.

Beliau berkata apabila masjid ingin membangunkan aset masjid seperti tanah wakaf dan memerlukan sumber kewangan maka KPA akan menyalurkan pinjaman tersebut kerana bank komersil amat keberatan untuk menyalurkan pinjaman kewangan kepada masjid kerana tidak mempunyai cagaran dan penjamin.

"Kita akan memberi pinjaman tetapi dengan syarat wang yang dikutip setiap minggu atau bulanan dibayar semula kepada KPA," katanya.

Dengan tertubuhnya koperasi masjid itu kelak, bermakna semua ahli kariah akan menjadi ahli kepada koperasi tersebut dan kempen penubuhan sedang giat dijalan sejak bulan lepas, yang bermula di Pahang.

"Kita berpandangan sektor koperasi masjid juga perlu diwujudkan untuk menangani masalah tersebut secara khusus dan masjid perlu mempunyai perancangan bersepadu seperti koperasi sekolah yang mempunyai program yang seragam," katanya.

Katanya alat untuk menggerakkan ekonomi masjid adalah Koperasi Kariah Masjid, yang perlu mendapat galakan dan kelulusan dari semua Majlis Agama Islam negeri masing-masing dan ia perlu ada perjanjian antara masjid dengan koperasi masjid.

Banyak program yang fokus boleh dijalankan antaranya menyediakan pusat hemodialisis bagi pesakit buah pinggang.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90