SOROTAN 2010 : Pergi Tinggalkan Nama, Jasa Tidak Dilupa

Agak mengejutkan apabila orang yang di sayang meninggalkan kita buat selama-lamanya. Yang hidup pastikan mati… itu adalah janji tetapi perginya mereka, sedikit pun tidak di lupa.

1. AHMAD C ( Lahir 1932 - 14 Januari 2010)

Pelakon veteran, Mohamad Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Ahmad C meninggal dunia pukul 12 tengah hari di Hospital Kota Tinggi, Johor Bahru akibat masalah jantung yang dialaminya sejak dua tahun lalu.

Antara filem yang pernah mengangkat namanya sebagai pelakon berbakat ialah Seniman Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Abu Hassan Penchuri, Ibu Mertuaku, Ali Baba Dan 40 Penyamun, Raja Bersiong dan banyak lagi.

Beliau juga pernah menganggotai kumpulan Panca Sitara 1 dan 2 sekitar tahun era 50-an bersama P Ramlee, Kassim Masdor, Aziz Jaafar dan Normadiah.

2. LYANA SAMSUDIN (Lahir 1978 – 20 Januari 2010)

Adik kepada aktres Zarina Zainuddin, Lyana Samsudin, 32, meninggal dunia di rumah ibunya di Ipoh, Perak pukul 11 pagi akibat penyakit misteri.

Lyana adalah seorang ahli perniagaan dan juga bekas pelakon di era 90an. Allahyarham pernah membintangi filem Panggilan Pulau (1994) arahan Ahmad Fauzee.

Selepas mengundurkan diri daripada bidang seni, Lyana dan ibunya bergiat aktif dalam perniagaan jamu.

3. DR. ANUAR NOR ARAI (Lahir 1943 - 21 Januari 2010)

Dr. Anuar Nor Arai, 66, merupakan seorang pengkaji filem dan pengarah yang pernah mencipta sejarah dalam bidang perfileman tanah air kerana mengarah filem dengan durasi terpanjang selama lima jam berjudul Johnny Bikin Filem. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.25 petang di Pusat Perubatan Selangor kerana menghadapi komplikasi paru-paru di sisi isterinya, Zahrah Ibrahim serta tiga anaknya iaitu Mazura, 39, Zuraira, 37, dan Ifa Mutiara, 36.

Selain aktif menulis skrip dan mengarah filem sejak tahun 1980-an, Allahyarham atau nama sebenarnya Anuar Mohd. Nor @ Arai juga merupakan Timbalan Rektor di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

4. AHMADI HASSAN (Lahir 1947 - 17 Februari 2010)

Penyanyi nasyid era 70-an, Ahmadi Hassan, 63, meninggal dunia di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru di sini kira-kira pukul 6 petang akibat penyakit buah pinggang.

Beliau dikenali ramai dengan panggilan Pak Chat iaitu watak yang dipegangnya menerusi drama radio yang begitu popular pada 70-an, Fajar Di Bumi Permata.

Allahyarham berasal dari Padang Menora, Seberang Perai, Pulau Pinang, meninggalkan tujuh anak menerusi dua perkahwinannya serta lima cucu.

5. YANIE MENTOR (14 November 1985 - 21 Mac 2010)

Penyanyi Siti Suriane Julkarim atau dikenali sebagai Yanie, 25, meninggal dunia pada pukul 1.15 tengah hari di Hospital Keningau, Sabah akibat ketumbuhan paru-.paru.

Allahyarhamah menderita sakit tersebut sejak dikesan pada Disember 2009 dan dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan rapi pada Februari lalu.

Yanie merupakan pemenang tempat ke-3 musim pertama Mentor telah berkahwin pada November 2007 dengan Irfin Abdul Manan dan meninggalkan seorang anak bernama Iris Sofea Irfin berusia 2 tahun.

6. DIN BERAMBOI (22 Disember 1966 - 2 April 2010)

Pelawak Din Beramboi atau nama sebenarnya Meor Ahmad Fuad Meor Badri,44, meninggal dunia pada 2 April 2010 pukul 4.30 pagi di Hospital Selayang akibat demam denggi berdarah.

Allahyarham meninggalkan seorang balu bernama Suhaini Che Man dan tiga orang anak, iaitu Nil Aina Adibah, 18, Mior Shafiq, 12, Nir Aina Syuhada,6.

Din Beramboi disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 12.30 malam di Hospital Selayang selepas dimasukkan ke ICU kerana penyakit itu.

7. ACHIK SPIN (1 Julai 1982 - 17 April 2010)

Artis terkenal yang juga vokalis kumpulan Spin, Abdillah Murad Md. Shari atau lebih dikenali sebagai Achik Spin, 28, meninggal dunia dalam satu kemalangan ngeri di KM 14 Lebuh Raya Kajang Seremban Sdn. Bhd. (Lekas).

Allahyarham yang berada di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) terbabas setelah melanggar papan tanda dan beliau meninggal dunia di tempat kejadian sebelum api marak membakar kereta MPV yang dipandu Achik ekoran kejadian malang itu.

Achik meninggalkan seorang balu, H.M. Rose Zaitul Suriani Wati Maarof, 29, dan dua orang cahaya mata, Puteri Saffiya, 3. dan Puteri Sofia 10 bulan.

8. SITI ROHANI WAHID (Lahir 1957 - 11 Julai 2010)

Siti Rohani Wahid 53, yang juga isteri kepada pengarah, M. Jamil, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Putrajaya.

Menantu pelakon wanita veteran popular, Datuk Sarimah Ahmad ini meninggal dunia akibat kanser payu dara.

Allahyarhamah membintangi beberapa buah filem, Sepi Itu Indah, Jauh Di Sudut Hati, Bujang Selamat, Gila-Gila Remaja, dan Momok The Movie.

9. MARIAM BAHAROM (Lahir 1935 – 9 Ogos 2010)

Seniwati filem Melayu tahun 50-an, Mariam Baharum 75, iaitu ibu kepada penyanyi terkenal Singapura, Rahimah Rahim meninggal dunia di rumahnya, Yishun, Singapura.

Mariam, bekas pelakon veteran di Studio Malay Films Production di Jalan Ampas, meninggal dunia kerana sakit tua.

Mariam pernah berlakon dalam filem seperti “Aloha” (1950), “Dewi Murni” (1950), “Kembar” (1950), “Aladdin” (1952), “Kipas Hikmat” (1955), “Abu Hassan Penchuri” (1955) dan “Antara Dua Darjat” (1960).

10. M.RAFIEE (Lahir 1924 – 16 September 2010)

Pelakon M. Rafiee Haji Khair, meninggal dunia 7.51 malam pada 16 September selepas lebih seminggu dirawat kerana sakit tua di Hospital Besar Changi (CGH).

Beliau pernah membintangi filem Madu Tiga dan Seniman Bujang Lapok bersama Allahyarham P. Ramlee. M.Rafee juga diingati dengan ayat '... kesian... kesian.. kesian' dalam filem Madu Tiga.

11. M.RAJOLI (26 Jan 1988 - 17 September 2010)

Pelakon veteran M. Rajoli, 65, yang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal meninggal dunia di Hospital Ampang, Selangor selepas dimasukkan ke hospital itu petang Khamis.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 10.45 malam, Jumaat, di sisi isterinya Hassimah Mat Din dan anak bongsunya, Mohd. Arif.

Bagaimanapun terdapat sedikit persengketaan antara isteri pertamanya Hassimah Mat Din dengan isteri kedua Wan Chik Daud yang menjadi kontroversi.

12. YUSOF CHONG (Lahir 1947 - 5 September 2010)

Pelawak dan pelakon veteran terkenal, Yusof Chong, 63, meninggal dunia di Hospital Selayang dekat sini, kira-kira 3.30 petang Ahad akibat komplikasi penyakit, termasuk sakit jantung dan darah tinggi.

Allahyarham dirawat di hospital itu sejak lima hari lepas setelah mengalami komplikasi penyakit tersebut.

13. YALAL CHIN ( Lahir 1943 -16 Oktober 2010)

Pelakon dan dramatis terkenal, Yalal Chin, 67, meninggal dunia kerana sakit jantung dan komplikasi pendarahan dalam otak di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras pada pukul 12.15 pagi, Sabtu.

Yalal Chin atau nama sebenarnya Yalal Abu Chin, 67, meninggalkan seorang balu iaitu Suriani Mohd Yusof.

14. SHAMRIN FOTOGRAF ( Lahir 1965 - 11 November 2010)

Penyanyi Shamrin (gambar) atau nama sebenarnya Mohd. Shamrin Abd. Samad,45, dari kumpulan Fotograf meninggal dunia petang, Khamis.

Allahyarham yang popular dengan lagu Di Alam Fana Cinta pada era 90-an dikatakan rebah ketika bermain bola sepak di padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur kira-kira pukul 6 petang.

15. TONY CASTELLO (Lahir 1946 - 13 Disember 2010)

Pelakon filem Anakku Sazali, Tony Castello atau nama Islamnya Mohd Nor Abdullah, 64, meninggal dunia kira-kira pukul 4 petang, Isnin di Hospital Changi, Singapura.

Pelakon yang terkenal dengan watak Sazali dalam filem itu dikebumikan di tanah perkuburan Islam Pusara Abadi, Chua Chu Kang, Singapura.

Tony meninggalkan tiga anak, seorang hasil perkahwinannya dengan wanita Amerika Syarikat manakala dua lagi dengan wanita Singapura. Manakala seorang isteri warga Filipina.

Semoga mereka ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan tentu sekali nama mereka tetap segar dalam ingatan kita buat selama-lamanya. Al-fatihah.

- MSTAR
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url