Harjit Singh Diiktiraf Penyampai Berita Paling Lama
Penyampai berita veteran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Harjit Singh Hullon, 57, diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai penyampai berita paling lama berkhidmat.
Harjit berkata, profesion itu sudah menjadi impiannya sejak sekian lama.
"Sejak kali pertama saya mendengar radio, saya tahu yang saya juga mahu suara saya didengar oleh orang lain," katanya yang mendapat pengiktirafan itu pada Isnin selepas 38 tahun berkhidmat dengan RTM.
Menariknya tentang penganugerahan itu, Harjit tidak memecahkan rekod yang sedia ada, sebaliknya mencipta satu rekod baru dalam bidang penyiaran.
"Ia (pengiktirafan) bukan rekod yang mudah untuk dipecahkan selepas ini," katanya yang mula berkhidmat di stesen itu sebagai penyampai radio pada tahun 1972.
Harjit kemudiannya meninggalkan negara untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan tetapi kembali ke Malaysia selepas menyedari bahawa bidang penyiaran adalah impian sebenarnya.
"Saya tidak mendapat status 'Dr' (doktor) di hadapan nama, sebaliknya berjaya mendapat status 'DJ'," katanya secara berseloroh.
Harjit mula menjadi penyampai berita setahun selepas itu dan terus bertahan sehingga hari ini. Penyampai berita dwi-bahasa itu juga pernah memenangi Anugerah Khas Kementerian Penerangan pada majlis Anugerah Angkasapuri pada 2006.
Bakal bersara tahun ini, bapa kepada dua anak itu bagaimanapun tidak merancang untuk berehat.
"Saya ingin mencurahkan ilmu dan sumbangan kepada syarikat (RTM) yang telah membuka ruang kepada saya untuk berada di kedudukan hari ini," katanya yang merancang untuk menjadi mentor kepada penyampai-penyampai baru RTM.
Sebagai wajah yang cukup sinonim dengan stesen itu dan merupakan satu-satunya lelaki berbangsa Sikh dengan imej serban, Harjit berkata, rakan-rakannya pernah bergurau tentang akronim 'RTM' yang turut membawa maksud 'Regular Turbanned Man'.
Harjit turut mengakui, dia pernah menolak beberapa tawaran dari stesen televisyen pesaing ekoran kesetiaannya bersama RTM.
"Jika diimbas semula, saya tahu yang saya telah membuat keputusan yang betul untuk kekal bersama RTM," katanya.
- MSTAR