Padam kebakaran pencakar langit


Seiring dengan kemajuan yang dicapai oleh Malaysia sejak merdeka, saban tahun bangunan pencakar langit kian bertambah. Di Lembah Klang sahaja, bangunan setinggi 12 tingkat kini mencecah jumlah 548 dan jika dihitung di seluruh Malaysia sudah pasti angkanya mencecah ribuan.

Negara turut mempunyai bangunan pencakar langit iaitu Menara Berkembar Petronas KLCC yang mempunyai ketinggian sehingga 88 tingkat.

Persoalannya adakah bangunan tinggi itu selamat? Jika berlaku kebakaran, adakah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang mempunyai petugas tetap seramai 13,456 orang mampu menanganinya?

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata, kesemua bangunan tinggi di negara ini memenuhi piawaian dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan di samping mempunyai ciri-ciri keselamatan yang memuaskan terutama dalam menghadapi kebakaran.

Bangunan tinggi di Malaysia terutama yang dibina selepas tahun 1984 mematuhi undang-undang yang dipanggil Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) 1984.

“Undang-undang ini umumnya telah dipertingkatkan daripada versi 1976 iaitu selepas kejadian kebakaran bangunan Kompleks Campbell pada 8 April, 1976,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya.

Menurutnya, bangunan-bangunan tinggi di Malaysia dilengkapi dengan alat pencegahan kebakaran yang mencukupi selain mempunyai ciri-ciri keselamatan dan sistem tersendiri sekiranya berlaku kebakaran.

“Antaranya ialah pintu rintangan api, kamera litar tertutup (CCTV), sistem sprinkeler protected corridor, dan lobi bagi membolehkan penghuni keluar dengan selamat sekira berlaku kebakaran.

“Ini bermakna sistem yang dipasang itu berupaya memadamkan kebakaran atau memberi amaran kepada mereka yang berada dalam bangunan tinggi”, katanya.

Wan Mohd. Nor berkata, bomba sememangnya mempunyai peralatan yang mencukupi dan mampu menghadapi apa juga situasi kebakaran meskipun ia berlaku di tempat tinggi seperti KLCC.

Ini kerana KLCC yang mempunyai 88 tingkat dan terdiri daripada dua bahagian (bangunan berkembar) mempunyai ciri keselamatan yang ketat. Semua sistem di KLCC telah pun diambil kira keselamatannya oleh pihak bomba semasa proses pembinaan.

“Lagipun bangunan seperti ini sememangnya diberikan lebih perhatian. Ada bilik kawalan 24 jam, kamera CCTV untuk mengesan kebakaran dengan cepat dan alat bantuan yang mencukupi sekiranya berlaku kebakaran.

Ciri keselamatan di KLCC

KLCC sememangnya mempunyai reka bentuk berbeza dengan bangunan lain di Malaysia dan sekiranya berlaku kebakaran, ketinggian bukanlah faktor yang paling utama kepada bomba sebaliknya nyawa orang ramai.

“Bukan faktor ketinggian itu sahaja yang perlu diberi perhatian tetapi masalahnya ialah orang di dalamnya ramai, ada beribu orang.

“Jadi yang paling penting ialah sistem perlindungan keselamatan di dalamnya mesti dalam keadaan baik. Kalau ada berlaku kebakaran, automatik akan memadamkan kebakaran,” katanya lagi.

Anggota bomba di negara ini sememangnya terlatih dalam menghadapi apa jua kebakaran dan dalam menghadapi kebakaran di bangunan tinggi dua kaedah biasanya akan digunakan.

Beliau berkata kaedah tersebut dikenali sebagai Internal Fire Fighting dan External Fire Fighting.

Bagi Internal Fire Fighting ataupun dirujuk juga sebagai Offensive Fire Fighting, ia merujuk kepada satu teknik pemadaman secara agresif yang mewajibkan pasukan bomba memasuki sesebuah bangunan atau struktur untuk tujuan pemadaman serta menyelamat.

Teknik itu digunapakai apabila terdapat mangsa yang terperangkap di bangunan dan berdasarkan penilaian kemungkinan mangsa itu masih hidup adalah tinggi atau berdasarkan penilaian awal analisis risiko, struktur bangunan adalah selamat untuk dimasuki dan tidak akan runtuh.

External Fire Fighting pula atau juga dikenali Defensive Fire Fighting merupakan teknik pemadaman dari luar bangunan bagi tujuan isolasi dan menstabilkan sesuatu kebakaran supaya ia tidak musnah sama sekali dan merebak ke struktur lain.

Daripada kedua-dua kaedah tersebut, Internal Fire Fighting lebih menjadi pilihan oleh anggota bomba dalam menghadapi kebakaran di bangunan tinggi.

Ini kerana tangga yang dimiliki bomba hanya boleh naik setinggi 15 tingkat. Selain itu anggota bomba juga mendapat bantuan daripada bahagian dalaman bangunan itu sendiri yang dilengkapi alat pemadam api seperti sprinkler dan sebagainya.

“Kaedah ini sememangnya menjadi pilihan apabila bomba menghadapi situasi kebakaran di tempat tinggi, kerana memadamkan api dari dalam adalah lebih cepat,” katanya.

– Bernama

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.