Suri rumah jana pendapatan sendiri

Bidang keusahawanan merupakan salah satu perniagaan yang mampu memberikan keuntungan kepada sesiapa yang menceburinya. Tetapi penglibatan ini haruslah disertakan dengan semangat, usaha dan ilmu yang mencukupi demi memastikan perniagaan yang dijalankan mendapat kejayaan.

Menyedari akan kekurangan penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan, Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) telah menganjurkan Program Suri Kreatif iaitu Bengkel Pembuatan Pastri.

Menurut Pengarah Pembangunan Wanita Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Norhafiza Halim Faizal, ia salah satu program daripada JPW bertujuan untuk memberi kemahiran dan pengetahuan dalam pelbagai bidang kepada wanita.

"Ia bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan taraf kehidupan mereka. Bengkel ini juga bukan hanya melibatkan golongan ibu tunggal tetapi terbuka kepada semua wanita yang berumur antara 18 hingga 56 tahun.

"Di samping itu, ia bertujuan melahirkan usahawan wanita yang berjaya dalam bidang perniagaan makanan, kraf tangan, andaman dan lain-lain," katanya.

Menurutnya, program itu merangkumi 12 kawasan parlimen di Wilayah Persekutuan dan Putrajaya yang dipilih melalui pendaftaran sebagai rakan wanita, wakil-wakil NGO ibu tunggal, persatuan penduduk dan juga melalui senarai e-Kasih yang terdiri daripada golongan miskin tegar dan miskin.

"Seramai 30 orang akan dipilih untuk menyertai program yang dianjurkan oleh JPW . Ada juga daripada kalangan mereka dipilih melalui program Satu Azam yang dilancarkan pada tahun lalu oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat."

"Program Satu Azam juga merupakan salah satu platform berguna untuk menggalakkan wanita mahupun ibu tunggal yang mempunyai pendapatan isi rumah RM1,000 ke bawah untuk menjana pendapatan sendiri," jelas Norhafiza.

Selain daripada itu, tambahnya lagi, bengkel yang diadakan selama sehari ini adalah ditanggung sepenuhnya kelengkapan dan peralatan oleh pihak kerajaan tanpa peserta perlu membayar apa-apa yuran.

"Kami akan memantau kesemua peserta selepas tamat mengikuti bengkel ini. Selepas itu hanya yang layak sahaja akan dipilih menerima geran teman satu azam untuk mereka membuka perniagaan sendiri berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan," katanya.

Sementara itu, menurut salah seorang tenaga pengajar, Marsuah Dolah, sambutan pada kali ini amat menggalakkan daripada semua peserta yang hadir.

"Kebanyakan daripada mereka sudah mempunyai asas dalam pembuatan pastri. Mereka juga turut menunjukkan minat yang mendalam untuk belajar," jelasnya.

Bagi mereka yang ingin mendaftar sebagai rakan wanita boleh datang terus ke pejabat pembangunan Wanita Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya ataupun boleh melayari facebook melalui JPW Kuala Lumpur.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url