Top Ad 728x90

200,000 peluang kerja

PEKAN 18 Feb. - Berita baik untuk para penganggur apabila terdapat lebih 200,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor didaftarkan dalam portal Jobs Malaysia pada tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja, Datuk Sheikh Yahya Sheikh Mohamed berkata, jawatan kosong itu meliputi di sektor perkhidmatan, perhotelan, pelancongan, pembuatan dan perladangan yang memerlukan pengambilan segera.

"Perkembangan positif itu didorong oleh persekitaran ekonomi semasa yang semakin baik dan kukuh," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman Akademi Latihan Pekan (ALP) dengan empat syarikat di sini hari ini.

Dengan perjanjian itu, empat syarikat tempatan yang menceburi sektor perhotelan dan peruncitan bersetuju mengambil 125 pelajar ALP selepas mereka tamat pengajian.

Sheikh Yahya memberitahu, sektor perhotelan dan perladangan memerlukan ramai pekerja sehingga menyebabkan mereka terpaksa mengambil pekerja asing.

"Mereka terpaksa berbuat demikian bagi mengisi pelbagai kekosongan jawatan disebabkan kekurangan permohonan kerja daripada rakyat tempatan.

"Oleh itu, kira-kira 300,000 penganggur perlu mengambil peluang ini. Peluang pekerjaan juga dijangka bertambah selaras dengan perkembangan ekonomi negara," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai terutama pencari kerja dijemput ke Program Penempatan Pekerjaan di Pusat Dagangan Indera Mahkota di sini esok dan Ahad.

Katanya, program itu melibatkan 50 majikan yang menawarkan 3,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang.

"Dalam program penempatan pekerjaan itu, kita hanya panggil majikan yang tawar gaji pokok minimum RM650 hingga RM1,000 bagi jawatan rendah, manakala bagi jawatan yang lebih tinggi pula tidak kurang RM2,000," katanya.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90