Abu Ayyub pahlawan perang yang pemurah

Abu Ayyub Al-Ansari atau nama sebenarnya Khalid bin Zaid bin Kulaib berasal (berketurunan) daripada Bani An-Najjar.

Beliau mendapat penghormatan Rasulullah SAW apabila baginda mendiami rumah beliau selepas baginda memasuki Madinah, berhijrah dari Mekah.

Ketika Rasulullah SAW memasuki Madinah, setiap orang daripada kalangan kaum Ansar bercita-cita (berkeinginan) supaya Rasulullah SAW turun daripada unta baginda dan berhenti di rumah mereka.

Mereka menghalang perjalanan unta Nabi SAW secara silih berganti supaya unta baginda menghala ke rumah mereka, kemudian Nabi bersabda kepada mereka: "Biarkanlah ia pergi kerana ia telah diperintahkan." Lalu unta tersebut terus berjalan sehinggalah ia berhenti di halaman rumah Abu Ayyub al-Ansari r.a.

Abu Ayyub terlalu gembira melihat keadaan tersebut, lalu beliau terus mendapatkan Rasulullah SAW, menyambut kedatangan baginda dengan perasaan terlalu gembira dan rasa amat terharu sambil membawa barang-barang yang dibawa oleh Nabi SAW seolah-olah beliau membawa khazanah yang begitu bernilai, kemudian terus masuk ke rumahnya.

Rumah Abu Ayyub r.a terdiri daripada dua tingkat. Nabi SAW memilih tingkat bawah supaya baginda boleh berjumpa para sahabat di mana mereka dapat masuk dan keluar dengan mudah. Tetapi keadaan tersebut menyebabkan Abu Ayyub tidak dapat tidur di tingkat atas, malah beliau tidak dapat tidur sedikit pun pada malam tersebut sehingga menjelang waktu pagi.

Lalu beliau datang berjumpa Rasulullah SAW dan mengadu kepada baginda mengenai keadaan tersebut, kemudian beliau meminta agar baginda berpindah ke tingkat atas.

Pada masa itu juga muka baginda kelihatan ceria, lantas baginda berkata: "Janganlah kamu menyusahkan diri kamu, wahai Abu Ayyub. Sesungguhnya kami lebih sesuai berada di tingkat bawah kerana ramai orang datang berjumpa kami."

Lalu Abu Ayyub mengisahkan peristiwa tersebut: "Aku melaksanakan perintah Rasulullah SAW tersebut sehinggalah berlaku pada suatu malam yang sangat sejuk, kendi kami pecah menyebabkan airnya tumpah ke atas lantai di tingkat atas.

Lalu aku dan Ummu Ayyub (isteriku) terus bergegas ke tempat air yang tumpah tersebut sedangkan pada masa tersebut kami tidak memiliki apa-apa kecuali sehelai kain baldu yang kami jadikan sebagai selimut.

Kami menggunakan kain tersebut untuk mengelap air yang tumpah kerana bimbang air tersebut menitis ke tingkat bawah tempat Rasulullah SAW berada. Pada keesokan paginya aku berjumpa Rasulullah SAW, kemudian aku berkata: Demi bapaku, kamu dan ibuku! Aku tidak suka berada di atas kamu sedangkan kamu berada di bawahku. Setelah itu aku ceritakan berita mengenai kendi tersebut.

Lalu baginda menerima permintaan aku dan baginda bersetuju untuk naik ke tingkat atas, manakala aku dan Ummu Ayyub pula turun ke tingkat bawah."

Rasulullah SAW menetap di rumah Abu Ayyub selama lebih kurang tujuh bulan sehinggalah masjid baginda dibina, dilengkapi dengan bilik-bilik yang terdapat di sekeliling masjid yang kemudiannya baginda berpindah ke sana.

Abu Ayyub adalah seorang yang berhati lembut, terlalu sayang kepada Rasulullah SAW, sangat pemurah, suka memberi makan kepada orang lain dan beliau memiliki sebatang pokok kurma di mana beliau mengusahakannya untuk menampung kehidupannya dan keluarganya.

Selain itu, Abu Ayyub juga merupakan salah seorang pahlawan perang. Beliau menyertai kesemua peperangan yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW, begitu juga dengan peperangan yang berlaku pada zaman pembukaan kawasan Islam, semuanya beliau sertai kecuali berlakunya beberapa peperangan dalam satu masa.

Abu Ayyub r.a tidak pernah ketinggalan turut serta dalam peperangan yang diikuti oleh umat Islam semenjak zaman Nabi SAW sehinggalah ke zaman Muawiyah.

Pada zaman pemerintahan Muawiyah, Muawiyah telah menghantar sepasukan tentera untuk membuka kota Constantinople di bawah pimpinan anaknya, Yazid.

Pada masa tersebut Abu Ayyub merupakan seorang yang telah tua. Umurnya menjangkau 80 tahun. Walau bagaimanapun, beliau tetap keluar bersama-sama dengan pasukan tentera dan menaiki pengangkutan laut.

Dalam pelayaran itu beliau jatuh sakit. Pada masa panglima tentera mengunjungi beliau, panglima bertanya kepadanya: "Wahai Abu Ayyub! Adakah kamu ingin meminta sesuatu?" Lantas beliau meminta daripada panglima supaya tentera mengusung beliau sekiranya beliau meninggal dunia, kemudian mengkebumikan beliau di bumi musuh - mengkebumikan beliau di pagar sempadan Constantinople. Ternyata beliau meninggal dunia pada masa tersebut.

Setelah peristiwa tersebut, tentera Islam berusaha menyerang musuh sedikit demi sedikit sehinggalah mereka berjaya sampai ke sempadan Constantinople dalam keadaan mereka mengusung jenazah Abu Ayyub bersama-sama mereka dan di sana mereka menggali sebuah kubur untuk Abu Ayyub, kemudian mengkebumikan beliau di pagar sempadan kota tersebut.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url