Khamis, April 28, 2011

Tricubes sasar tarik lebih 5 juta pengguna myemail

TRICUBES Bhd, pengendali projek portal e-mel 1Malaysia, myemail, menyasarkan untuk menarik sehingga 5.4 juta pengguna perkhidmatan itu menjelang akhir tahun ini, selepas ia dilancarkan pada Julai.

Perkhidmatan itu menjadi platform komunikasi sehenti secara selamat kepada rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan dalam talian bagi urusan rasmi dengan beberapa agensi kerajaan, termasuk membabitkan notis rasmi dan bil.
Tricubes berkata, projek myemail, antara beberapa Projek Permulaan (EPP) di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), itu kini sedang dalam percubaan pada peringkat dalaman dengan menggunakan versi beta bagi memastikan tahap keselamatan dan keupayaan fungsinya.

Akaun myemail boleh didaftar secara percuma, terbuka kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas dan ia boleh dilakukan dengan melakukan pengesahan tunggal di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atau menerusi peranti khas pengesan cap jari USB yang boleh dibeli daripada syarikat itu.

Ketua Eksekutifnya, Khairun Zainal Mokhtar, berkata tahap keselamatan pengguna adalah matlamat paling penting perkhidmatan itu kerana data yang dihantar atau diterima menerusi myemail dilindungi menerusi enkripsi sepenuhnya bagi memastikan integritinya.

“Semua jenis mesej yang dihantar, sama ada berbentuk peribadi atau membabitkan maklumat rasmi, semuanya akan melalui Lapisan Soket Selamat (SSL),” katanya pada taklimat media berhubung model perniagaan projek myemail di Kuala Lumpur, semalam.
Khairun menjelaskan, pendapatan dijana melalui perkhidmatan myemail adalah dengan mengenakan caj kurang 50 sen kepada setiap e-mel yang dihantar agensi kerajaan membabitkan notis atau pemberitahuan rasmi dan caj tambahan akan hanya dikenakan untuk dokumen yang melalui proses enkripsi secara pilihan.

Tegasnya, pemilik akaun yang menggunakan e-mel itu bagi tujuan peribadi sama sekali tidak akan dikenakan caj, iaitu sama seperti perkhidmatan e-mel percuma lain yang ada dalam talian.

“Kami mengenakan caj untuk perkhidmatan enkripsi data menggunakan biometrik, iaitu bagi tujuan integriti dan kesulitan maklumat. Ia berfungsi sebagai pejabat pos digital,” katanya.

Beliau menambah, dengan adanya perkhidmatan itu, agensi kerajaan dianggarkan dapat menjimatkan penggunaan sehingga 8.5 juta keping kertas seberat 4,250 tan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Agensi kerajaan bakal dapat menjimatkan sehingga RM200 juta dalam tempoh itu,” katanya sambil menambah syarikat itu kini berunding dengan beberapa agensi kerajaan bagi menempatkan perkhidmatan masing-masing ke dalam myemail.

Dalam perkembangan sama, Khairun berkata kedudukan syarikat itu yang disenaraikan sebagai berstatus GN3 di Bursa Malaysia bukan halangan utama kepadanya untuk meneruskan perniagaan.

“Projek myemail adalah sebahagian langkah aturan semula kedudukan kewangan syarikat seperti yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia,” katanya.

Tricubes, katanya, sudah memperoleh pembiayaan awal sebanyak RM5.3 juta dalam bentuk sekuriti boleh ubah daripada Malaysian Venture Capital Management Sdn Bhd (MAVCAP) untuk membangunkan fasa pertama projek berkenaan.

Pelaksanaan projek myemail dijangka membabitkan pelaburan keseluruhan bernilai RM50 juta bagi tempoh 10 tahun dan Tricubes akan melabur semula pendapatan yang diraihnya untuk memastikan kelangsungan serta menyediakan khidmat nilai tambah pada masa depan.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts