Baca, teliti sebelum beli
Ahli Persatuan Pemakanan Malaysia.
LABEL pemakanan atau panel maklumat pemakanan (NIP), adalah jadual yang terdapat pada label makanan berpaket yang menunjukkan jumlah tenaga, karbohidrat, protein dan lemak dalam produk makanan.
Kebanyakan pengilang produk makanan turut menyenaraikan vitamin, zat galian dan nutrien-nutrien lain. Ia boleh dianggap sebagai indikator kualiti pemakanan produk tertentu.
Label pemakanan menggalakkan penggunaan prinsip pemakanan yang betul dalam pemilihan dan penyediaan sajian makanan untuk keluarga. Sebagai ibu bapa yang prihatin, pemahaman mengenai maklumat ini akan membantu anda membuat pilihan makanan yang lebih berkhasiat untuk anak-anak anda. Seterusnya ia membantu memenuhi keperluan pemakanan di samping mengehadkan pengambilan lemak dan gula yang berlebihan dalam dietnya. Sentiasa amalkan membaca label pemakanan walaupun anda pernah membeli makanan yang sama sebelum ini, kerana formula dan kaedah pemprosesan makanan mungkin sudah berubah seiring dengan masa.
Sentiasa baca senarai kandungan ramuan! Maklumat ini penting sekiranya si manja anda mempunyai alahan atau alergi terhadap satu atau beberapa jenis komponen makanan. Pengetahuan tentang kandungan produk dapat membantu mengelak kemudaratan. Anda juga boleh mendapatkan maklumat makanan dari laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Dengan menyemak senarai nutrien dan jumlah nutrien dalam setiap hidangan produk makanan tertentu, sudah pasti anda dapat menganggarkan jumlah nutrien makanan yang boleh menyumbang kepada pengambilan harian si manja anda. Maklumat ini boleh digunakan sebagai panduan dalam membuat pilihan makanan yang bijak bagi merancang sajian yang sihat dan seimbang untuk si manja anda. Petua berikut boleh dijadikan panduan:
Jangan sesekali membeli makanan hanya kerana anda sukakan bungkusannya. Sentiasa ingat bahawa produk makanan yang mahal tidak semestinya lebih baik atau lebih berkhasiat. Sebagai ibu bapa yang prihatin, sentiasa bandingkan produk makanan dengan membaca NIP.
Ingatlah, buat perbandingan berdasarkan jumlah nutrien setiap 100g atau 100ml produk. Saiz hidangan mungkin tidak sesuai untuk dibuat perbandingan kerana ia mungkin berbeza di antara jenama.
Jangan mudah terpengaruh dengan semua tuntutan yang anda baca pada label makanan. Misalnya, sesuatu produk dituntut mempunyai "rendah lemak" tetapi mungkin mengandungi kandungan gula yang tinggi, manakala produk yang mendakwa "tiada kolesterol" mungkin mempunyai kandungan lemak yang tinggi.
Bagaimana untuk membuat keputusan yang lebih baik berdasarkan dakwaan pengeluar? Mudah sahaja, bacalah label pemakanan.
Jika anda memerlukan panduan selanjutnya mengenai cara menggunakan label pemakanan, mintalah nasihat pakar pemakanan atau pakar diet.
- UTUSAN