Kuasai al-Quran dalam 14 hari


SETELAH hampir 11 bulan menahan penat dan lelah berulang alik ke sekolah serta bertungkus lumus 'mengadap' buku untuk menghadapi peperiksaan, cuti sekolah merupakan saat yang pastinya paling ditunggu-tunggu para pelajar.

Musim cuti merupakan tempoh yang paling sesuai untuk melepaskan segala keletihan dan tekanan yang telah dilalui di sekolah.

Sehinggakan, terdapat segelintir pelajar yang sentiasa menghitung hari dan mengeluh apabila melihat sesi persekolahan baru semakin hampir.

Namun, bagaimana pula golongan tersebut menggunakan tempoh cuti yang panjang itu?

Adakah dipenuhi dengan aktiviti yang bermanfaat atau sebaliknya?

Adakah sekadar bermain bersama rakan-rakan, menghabiskan masa dengan berkurung dalam bilik bermain komputer dan permainan video ataupun sekadar mengisi masa dengan tidur sepanjang hari?

Apa yang dibimbangi, masa yang terluang itu digunakan dengan melakukan aktiviti tidak berfaedah seperti bergaul bersama kumpulan yang tidak bermoral, terpengaruh dengan jenayah siber yang boleh mengakibatkan kesan negatif.

Tetapi sebenarnya bagaimana si anak menghabiskan masa cuti mereka terletak di tangan ibu bapa sendiri.

Ibu bapa memainkan peranan penting sebagai acuan yang mencorakkan masa depan anak-anak mereka, sama ada ke arah yang baik atau sebaliknya.

Oleh itu, masa yang terluang itu perlulah dimanfaatkan oleh ibu bapa dengan sebaiknya bagi membentuk peribadi anak-anak dengan aktiviti yang membina dan bermotivasi.

Pelbagai perancangan boleh direncanakan oleh ibu bapa kepada anak-anak sepanjang cuti sekolah antaranya menghantar anak ke kem cuti sekolah.

Sejak pertengahan tahun 90-an lagi kem musim cuti telah mula bergiat aktif oleh pelbagai organisasi kerajaan mahupun swasta dengan menyediakan pelbagai jenis pendekatan yang sesuai untuk penerimaan individu.

Benarlah seperti yang dikata, hidayah Allah itu ada di mana sahaja dengan apa juga keadaan. Kem cuti sekolah juga ternyata mampu memberikan kesan positif kepada peserta dalam mencorakkan gaya hidup mereka positif.

Penganjur program motivasi, Mohd. Nasir Rustam al-Hafiz berkata, ibu bapa pada masa kini ramai yang terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga terlupa tanggungjawab kepada keluarga dan anak-anak.

Katanya lagi, perkara itu membuatkan anak-anak merasakan mereka kurang mendapat perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa sehingga mendorong mereka terjebak dengan aktiviti kurang sihat.

Oleh itu jelasnya, dengan menyertai aktiviti kem musim panas yang dibimbing oleh fasilitator yang berpengalaman, sedikit sebanyak peserta merasakan bahawa mereka sentiasa diawasi dan diambil perhatian.

Secara tidak langsung peserta mudah untuk menerima apa yang dipelajari selepas mendapat kepercayaan daripada fasilitator masing-masing.

Mohd. Nasir yang juga pengetua Tahsin Al-Quran Training Centre itu berkata, pihaknya menggunakan pendekatan ala madrasah.

Kursus selama 14 hari yang dianjurkannya diyakini mampu memberikan perubahan dan sesuatu yang baru kepada peserta.

"Pendekatan yang kita lakukan dalam kursus ini adalah menggunakan kaedah sunnah Rasulullah SAW dalam berdakwah iaitu menjadikan al-Quran sebagai asas panduan dalam menyelesaikan segala masalah.

"Apabila kita menghidupkan suasana kehidupan ala madrasah dengan memfokuskan pengisian program kepada bacaan al-Quran, secara tidak langsung mukjizat yang terdapat dalam setiap ayat al-Quran itu mampu mengubah dan menyelinap masuk ke dalam diri seseorang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program itu di Kem Nur Lembah Pangsun, Hulu Langat, baru-baru ini.

Seramai 130 peserta dari seluruh negara termasuk Singapura menyertai kem tersebut.

Antara pengisian yang diadakan termasuk cabaran aktiviti luar dan permainan sukaneka untuk mempersiapkan peserta dengan kekuatan dari segi mental dan fizikal seperti fying fox, berakit, sukaneka dan sebagainya.

Ujarnya, mengambil risiko menganjurkan kem paling lama yang belum pernah dilakukan penganjur lain. Kursus ala tahfiz menjamin satu pengajaran baru kepada peserta.

"Kami percaya, untuk membentuk peribadi seseorang bukan perkara yang mudah dan memerlukan masa yang agak panjang.

"Oleh itu, kita cuba mengambil risiko menganjurkan kem yang panjang iaitu selama 14 hari untuk memastikan objektif utama kursus tercapai melalui perubahan peserta," kata Mohd. Nasir.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url