Top Ad 728x90

,

Promosi e-pembayaran bagi pemindahan dana diperhebat

E-PEMBAYARAN akan dipromosikan sebagai medium utama transaksi ekonomi selain sebagai kaedah yang wajar, selamat dan menguntungkan dari segi kos, bagi pemindahan dana.

Bank Negara Malaysia dalam laporan Pelan Sektor Kewangan 2011-2020, berkata pertumbuhan dalam e-pembayaran sangat menggalakkan, dengan pertumbuhan ketara dalam keseluruhan kaedahnya.

Penggunaan e-pembayaran perkapita meningkat sekali ganda, daripada 22 pada 2005 kepada 44 pada 2010, dengan pertumbuhan besar dalam penggunaan kad debit, yang meningkat 8.2 kali, perbankan Internet sebanyak 6.3 kali dan GIRO Antara Bank sebanyak 4.5 kali.
“Dalam tempoh 10 tahun akan datang, Bank Negara menyasar meningkatkan jumlah transaksi e-pembayaran perkapita kepada 200 menjelang akhir 2020, berbanding 44 transaksi pada 2010 dan mengurangkan transaksi cek sebanyak lebih separuh berbanding 207 juta kepada 100 juta setahun," katanya.

Bank pusat itu berkata, langkah berkenaan akan dilaksanakan bagi menggalakkan peralihan daripada pembayaran menggunakan kertas kepada e-pembayaran dan capaian kemudahan infrastruktur yang lebih luas, seperti terminal tempat jualan dan perbankan telefon mudah alih.

“Bank Negara akan terus menyediakan persekitaran kawal selia yang perlu untuk memacu penghijrahan kepada e-pembayaran, meningkatkan kecekapan, termasuk inisiatif yang akan memacu penjimatan kos untuk negara secara keseluruhan dan menyumbang kepada kestabilan sistem pembayaran.

“Manfaat pemindahan kepada e-pembayaran bukan hanya terhad kepada keuntungan kecekapan kewangan, malah ia turut mempromosi persekitaran mesra pengguna,” katanya.
Selain mempromosi e-pembayaran, pendekatan yang lebih menyeluruh kepada perlindungan dan pendidikan pengguna akan juga diperkenal dalam usaha menggalakkan budaya perkongsian tanggungjawab bersama antara pengguna dan penyedia perkhidmatan kewangan.

“Ini termasuk merangka undang-undang kredit pengguna yang baru dan menyasarkan program celik kewangan,” katanya.

Bank Negara juga akan memastikan kumpulan bakat yang mahir untuk mengendalikan kesulitan landskap baru menerusi usaha sama dan penyelarasan dengan pihak yang melepasi sektor kewangan.

“Dalam hubungan ini, Majlis Bakat Perkhidmatan Kewangan akan ditubuhkan bagi memacu agenda pembangunan bakat sektor kewangan dan memantau dan menyelaras usaha pembangunan bakat dalam sektor kewangan,” katanya.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90