Proton Saga FLX SE Varian Saga paling sporty
Menjadi model penting buat pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Berhad (Proton), kereta subkompak itu tidak pernah jemu menerima penambahbaikan.
Bermula dengan model BLM pada tahun 2008, Saga mengalami revolusi menerusi model-model seperti BLM SE (2009), FL (Disember 2010) dan FLX (Ogos 2011) sebelum pada minggu lalu Proton memperkenalkan pula varian yang dikenali sebagai Saga FLX SE.
Karekter utama yang membentuk Saga FLX SE ialah enjin Campro IAFM bersesaran 1.6 liter dan kotak gear CVT (Continuously Variable Transmission). Ciri itu kemudian digabungkan bersama pelbagai aspek lain, sekali gus menjadikannya sebuah jentera yang berbaloi untuk dimiliki.
Sedia maklum bahawa Saga dengan enjin 1.6 liter pada asalnya cuma untuk dijadikan teksi. Namun, memandangkan permintaan terhadapnya terus meningkat, Proton bersetuju untuk menawarkannya kepada kelompok pengguna yang lain.
Saga FLX SE disifatkan sebagai Saga yang paling sporty dan memiliki pelbagai ciri menarik setakat ini. Perubahan dapat dilihat dengan jelas sama ada pada luaran dan dalamannya.
Saya sempat memandu uji kereta itu bersama satu lagi model baharu Proton, Exora Bold menuju ke Tanjung Jara, Terengganu pada awal minggu ini. Tetapi, untuk kali ini, kita fokuskan dahulu kepada apa yang mampu ditawarkan oleh Saga FLX SE.
Laluan kampung di bandar Al-Muktafi Billah di Dungun Terengganu menyerlahkan kemampuan sebenar jentera tersebut. Terpaksa memandu dalam hujan renyai, kelajuan maksimum yang berani diperah hanya sekadar 120 kilometer sejam.
Bunyi enjin
Itu sahaja kelajuan yang berani saya tekan memandangkan rasa sistem breknya yang kurang meyakinkan. Bagaimanapun, kekurangan itu diseimbangkan menerusi stereng yang agak berat, di samping tahap pengendalian mantap ketika mengambil selekoh.
Harus diakui bahawa respons enjin 1.6L IAFM itu agak bagus. Sebaik sahaja pedal minyak ditekan, enjin mengaum untuk mencari gear terbaik demi memproleh momentum, tipikal kotak gear CVT. Bunyi enjin juga dapat didengar dengan jelas dari dalam kabin, mungkin aspek itu harus diperbaiki oleh Proton.
Untuk merasai lebih kuasa, jangan lupa menekan butang SAT (Stepped-Automatic Transmission). Butang ini membolehkan pemandu merasa pertukaran gear seperti kotak gear manual konvensional.
Sekiranya SAT masih belum mampu memuaskan hati anda, tolak tuil gear ke kolum “L”. Harus tahu bahawa ia bukan digunakan untuk mendaki laluan berbukit, sebaliknya bertindak seperti mode sport. Hasilnya, jarum rpm akan melonjak setinggi 800rpm, sekali gus memberi kuasa ekstra untuk memotong atau memecut.
Mahu menjadikannya berasa lebih mahal, ruang dalaman Saga FLX SE disertakan dengan kemasan kulit hitam bersama jahitan benang merah pada stereng, konsol tengah, tuil gear dan tempat duduk. Saya harus beritahu juga bahawa tempat duduk belakangnya cukup selesa, walaupun jika anda terpaksa menempuh perjalanan yang jauh.
Misi menarik minat golongan muda untuk memiliki Saga FLX SE mungkin tidak terlalu sukar menerusi penampilannya yang garang. Selain disalut dengan warna merah menyala (warna baru selain warna putih solid) jentera itu turut hadir bersama kemasan lampu kabus berwarna kelabu.
Sekeliling kereta juga dilengkapi dengan skirting berwarna kontras (kelabu). Bahagian hadapan menyerlah melalui sepasang lampu utama berbentuk tirus. Sementara bahagian belakangnya tampil menawan dengan lampu LED.
Penampilannya disempurnakan lagi menerusi padanan rim aloi bersaiz 15 inci baharu yang dibalut tayar bersaiz 195/50 R15. Pendek kata, jentera itu tidak memerlukan apa-apa solekan lain untuk nampak cantik.
Berminat? Anda sudah boleh melihatnya di mana-mana pusat pameran Proton berhampiran. Mahal RM2,900 berbanding model Saga FLX, ia ditawarkan pada harga RM49,449 seunit.
- KOSMO!
exora bold ???? nanti cerita gak k