Google sasar jenama global jiwa tempatan

Tahun 2012 mengukuhkan lagi hasrat Google Malaysia Sdn. Bhd. (Google Malaysia) untuk menjadi 'jenama global dengan jiwa tempatan' dan terus menyokong segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk terus berkembang.

Ketua Google Malaysia, Sajith Sivanandan berkata, mereka akan menawarkan lebih banyak produk yang bersesuaian serta berciri-ciri tempatan bagi menarik minat pengguna Malaysia.

''Terdapat lebih banyak yang boleh dilakukan dengan perkembangan peralatan mudah alih akan mengukuhkan potensi tersebut.

''Dengan persekitaran Malaysia termasuk baik untuk perniagaan, membuatkan kami akan terus bekerjasama dengan pengguna untuk memberi manfaat dan nilai tinggi kepada mereka,'' katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Kemudahan tersebut adalah sejajar dengan misi Google untuk menyediakan maklumat dunia dan menjadikannya mampu diakses serta berguna di peringkat global.

Tambah Sivanandan, tahun lalu, Google Malaysia telah memperkenalkan Get Malaysian Business Online (GMBO) bagi membantu komuniti PKS mempunyai laman web mereka sendiri.

Katanya, Google Malaysia yakin sasaran 50,000 PKS mempunyai laman web sendiri akan tercapai pada tahun ini.

''Data dari SME Corp. menunjukkan 600,000 PKS masih belum mempunyai laman web mereka sendiri berbanding 100,000 sekarang.

''Tahun 2012, tumpuan kami tidak hanya kepada PKS di Lembah Klang sahaja tetapi Google Malaysia akan pergi ke Sabah dan Sarawak dan memperkenalkan GMBO pada pertengahan tahun.

''Selain itu, kami juga turut pergi ke negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia,'' jelasnya.

Melalui GMBO, PKS yang tidak mempunyai pengetahuan mengenai kehadiran dalam talian hanya memerlukan satu hari untuk mempunyai laman web mereka sendiri (setelah menerima kelulusan memiliki domain).

Google akan melabur sehingga RM10 juta dalam program tersebut termasuk menyediakan iklan percuma.

Sivanandan berkata, kini bukan sahaja produk-produk aksesori atau pakaian sahaja yang terdapat dalam talian, malah hampir kesemuanya ada termasuk makanan harian seperti karipap.

Selain segmen PKS, Google Malaysia turut memberi tumpuan kepada segmen lain seperti rakan niaga yang besar dalam bidang perbankan, telekomunikasi, penerbangan dan sebagainya.

Google turut memperkenalkan senarai Zeitgeist yang merupakan pilihan carian bagi rakyat Malaysia seperti acara besar, peristiwa tidak boleh dilupakan serta apa yang berlaku mengikut situasi.

Ia merupakan petunjuk budaya yang mendedahkan hampir kesemua perkara mengujakan rakyat Malaysia.

Bergerak ke hadapan, Sivanandan berkata, dengan peningkatan pengguna digital, trend perniagaan dalam talian akan berkembang pesat dan memberikan nilai serta manfaat kepada pengguna serta peniaga.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url