Top Ad 728x90

Menu Rakyat 1Malaysia serendah RM2


WARGA kota terutamanya di Kuala Lumpur sudah biasa membayar harga makanan yang tinggi. Di gerai tepi jalan sekali pun, harga sepinggan nasi ayam sahaja tidak kurang RM4. Harga itu belum termasuk minuman.

Justeru, sudah pasti ramai yang mengeluh dengan kenaikan harga makanan sejak kebelakangan ini. Bagi yang kurang berkemampuan, mereka mungkin terpaksa mencatu makanan setiap hari atau makan ala kadar sahaja.

Hendak memasak sendiri, kadangkala tidak berbaloi lebih-lebih lagi bagi golongan bujang dan pelajar.

Bagaimanapun, melalui Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M) yang diperkenalkan sejak November tahun lalu bukan sahaja menggembirakan rakyat malah pengusaha restoran turut mendapat manfaat.

Menurut pemilik restoran En. Tan Kopitiam Muslim yang terletak di Pusat Peniagaan Rampai di Setapak, Kuala Lumpur, Muhammad Nazri Tan Abdullah, 40, para pengusaha yang menyertai MR1M tidak akan rugi sekiranya mereka merancang menu yang bersesuaian.

"Pengusaha kena pastikan menu yang ditawarkan bukan sahaja murah tetapi juga berkualiti bagi menjamin kesetiaan pelanggan lama dan menarik lebih ramai pelanggan baharu.

"Walaupun dijual pada harga rendah, dengan bilangan pelanggan yang bertambah pengusaha restoran masih boleh membuat untung," katanya.

Di restorannya, Nazri menawarkan hidangan pakej nasi lemak atau roti bakar dengan teh panas atau kopi panas untuk sarapan pagi dan pakej nasi ayam dan teh O ais untuk makan tengah hari.

Tambah Nazri, beliau hanya mengambil satu menu daripada kira-kira 100 menu yang ditawarkan sebagai MR1M dan menjadikannya sebagai hidangan promosi.

"Pelanggan yang membuat pesanan untuk pakej MR1M mungkin datang lagi untuk mencuba menu lain pula. Mereka juga boleh jadi akan datang secara berkumpulan yang masing-masing mempunyai cita rasa berbeza.

"Sekiranya mereka berpuas hati dengan kualiti hidangan, sudah tentu mereka akan menguar-uarkan kepada orang lain untuk datang ke restoran anda lagi," katanya.

Nazri bercadang untuk meneruskan program itu dalam jangka masa panjang jika mendapat sambutan daripada orang ramai.

Bagaimanapun katanya, kerajaan mestilah menyokong penuh usaha para pengusaha restoran di samping membantu golongan berkenaan mempromosikan MR1M yang mereka jalankan.

Papan iklan

"Saya berharap Kementerian Pelajaran Malaysia dapat menguar-uarkan mengenai restoran yang menyediakan MR1M ke sekolah-sekolah melalui risalah supaya golongan pelajar yang mempunyai ibu bapa bekerja dapat menikmati hidangan yang murah, berkualiti dan berkhasiat," katanya.

Sementara itu, pengusaha Cafe Selera Fitrah yang terletak di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur, Mohd. Feizal Abdul Aziz, 30, memberitahu, beliau menyertai program berkenaan bukan sahaja sebagai menyahut seruan kerajaan tetapi mahu mempromosikan hidangan berkaitan.

"Walaupun pakej hidangan sarapan pagi dan makan tengah hari lebih murah daripada kebiasaan, kami akan pastikan ia berkhasiat dan sedap.

"Memang betul harga barangan mentah telah naik berganda dalam tempoh 10 tahun lalu tetapi pengusaha masih tidak boleh menjual makanan terlalu mahal. Kita mesti mengambil kira pelanggan yang kurang berkemampuan," ujarnya lagi.

Pelanggan tetap

Menurut Feizal, kebanyakan pelanggan tetapnya adalah pekerja pejabat dan pusat perubatan berdekatan.

"Kerajaan telah membekalkan kain banting untuk setiap restoran yang mengambil bahagian tetapi pada pendapat saya kerajaan harus turut menyediakan papan tanda restoran yang mempromosikan MR1M selain mengecualikan daripada membayar lesen iklan berkenaan.

"Dalam program ini, keuntungan seharusnya dirasai semua pihak iaitu kerajaan, peniaga dan pelanggan," katanya.

Dalam pada itu, Feizal memberitahu beliau menyediakan beberapa pilihan pakej sarapan pagi iaitu sama ada bihun goreng, mi goreng, spageti goreng atau nasi lemak yang dihidangkan bersama air teh O atau sirap, manakala makan tengah hari adalah nasi ayam atau laksa dengan air sirap.

"Sebelum ini hidangan sarapan pagi yang sama dijual pada harga sekitar RM2.30 sahaja tetapi kini dikurangkan kepada RM2 selepas menyertai program MR1M ini.

"Seperti pemilik restoran lain yang menyertai program ini, saya juga mahu melihat perkembangannya sebelum memutuskan sama ada untuk mengekalkannya pada masa akan datang atau sebaliknya," katanya.

Pengusaha restoran Hidangan Mek di Velodrom Medan Selera Cheras, Noriah Muhamad, 51, pula ternyata tidak lokek menyediakan pelbagai jenis hidangan pilihan untuk pakej hidangan sarapan pagi dan makan tengah hari.

Beliau yang berasal dari Kelantan dan sudah 18 tahun berniaga restoran turut menyediakan sebuah meja khas yang meletakkan tiga hidangan sarapan.

Hidangan pagi itu terdiri daripada mi goreng, nasi lemak dan nasi goreng bersama air teh O dan kira-kira sepuluh jenis hidangan merangkumi pilihan masakan ayam, ikan, telur dan sayur-sayuran bersama air sirap.

"Saya sudah asingkan siap-siap meja hidangan untuk MR1M dan sebuah meja lain untuk menu biasa tetapi ternyata MR1M lebih laku dan akan habis setiap hari.

"Saya mempunyai kira-kira 100 pelanggan untuk hidangan pakej MR1M setiap hari. Rezeki saya semakin bertambah sejak menyertai program ini," katanya sambil ditemani anak lelakinya, Ahmad Hadfi Awang, 30.

Tempahan makanan

Lebih menggembirakan katanya, mulai bulan Februari ini, sebuah syarikat yang menyediakan pengawal keselamatan sudah menempah 60 pakej MR1M setiap hari selama dua tahun untuk para pekerjanya yang rata-rata merupakan golongan berpendapatan rendah.

"Alhamdulillah pelanggan semakin ramai terutamanya dalam kalangan pelajar di dua maktab berdekatan medan selera ini.

"Saya juga sudah mempunyai ramai pelanggan tetap yang akan makan di sini setiap hari sejak saya menyertai program ini," katanya yang merupakan satu-satunya pengusaha gerai makanan MR1M di medan selera berkenaan.

Bagaimanapun katanya, walaupun turut menyediakan menu biasa yang dijual pada harga berlainan, beliau masih mengekalkan harga yang berpatutan.

"Sebelum menyertai program ini pun harga yang saya tawarkan tidak jauh berbeza malah amat berpatutan walaupun berniaga di dalam bandar raya Kuala Lumpur yang rata-rata peniaga menjual makanan dengan harga agak tinggi," cerita beliau.

- KOSMO!














0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90