Top Ad 728x90

,

Surat pengikat cinta Kamarudin dan Noridah


Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA

BELIAU memang digeruni kerana perwatakannya yang serius dan tegas ketika bertugas tetapi secara tidak langsung membuatkan dirinya dihormati. Bak kata pepatah 'tak kenal maka tak cinta'. Di sebalik perwatakan serius itu, terselit sisi penyayang dan mesra. Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ini bukan sahaja seorang ayah penyayang tetapi juga seorang datuk yang mengasihi cucunya.

Ternyata empunya diri Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin ada sebab untuk menyembunyikan ekspresi penyayangnya dalam melaksanakan tugasan seharian.

Ujarnya, menjadi peneraju sebuah IPTA tidaklah sama dengan menjadi nakhoda dalam melayari bahtera rumah tangga.

"Saya harus bijak untuk memainkan watak agar menjadi seorang pemimpin yang disegani tetapi dalam masa sama cuba untuk tidak menjadi pemimpin yang digeruni apabila berdepan dengan staf mahupun pelajar atas kapasiti Naib Canselor.

"Ia bukanlah sesuatu yang mudah. Namun sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke kediaman rasmi saya, segalanya dilontarkan ke tepi dan saya akan berusaha menjadi seorang suami, ayah dan datuk yang penyayang untuk ahli keluarga," ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sena, Kangar, Perlis, baru-baru ini.

Memiliki empat cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama Datin Noridah Yangman, kini kehidupan pasangan tersebut bertambah meriah dengan kehadiran cucu mereka, Myiesha.

Membuka lembaran cinta dan perjalanan hidup mereka berdua, Dr. Kamarudin nyata agak kekok untuk menceritakan saat manis yang dilaluinya bersama Noridah.

Siapa yang dapat menduga melalui pertemuan kali pertama bersama Noridah ketika mengendalikan kelas tambahan pelajar tingkatan empat di Sekolah Aminuddin Baki, Kuala Lumpur akhirnya membawa mereka ke jinjang pelamin.

Begitupun, Dr. Kamarudin memberitahu, untuk berkenalan rapat dengan Noridah bukanlah satu perkara yang mudah. Beliau bukanlah calang-calang wanita yang mudah didampingi, apatah lagi beliau menjunjung tinggi adat dan berpegang teguh kepada ajaran Islam yang diterapkan oleh keluarga.

Oleh kerana hati telah terbuai dengan perasaan suka dan ingin mengenali lebih rapat gadis yang boleh dikategorikan pemalu ini, maka Dr. Kamarudin mencuba pelbagai cara untuk mengenali puteri bongsu yang juga anak emas keluarga dengan lebih lanjut. Langkah pertama yang dilakukan adalah dengan meminjamkan buku pelajaran kepada beliau.

Sebagai bekas pelajar sekolah yang sama dan dengan status seorang senior yang sedang menunggu keputusan peperiksaan, nyata usaha dan kaedah itu berjaya. Tanpa disangka, bermula daripada peristiwa itulah hubungan mereka terus terjalin dan berkembang mekar.

"Boleh dikatakan saya jatuh cinta pandang pertama apabila kali pertama terpandang datin yang begitu cantik dengan memiliki kulit yang putih melepak. Tambah pula dengan imejnya yang sopan dan pemalu.

"Sememangnya waktu itu, saya dah jatuh hati tapi pada dia (Noridah), dia tak ada apa-apa. Ya lah, dia orang cantik kalau nak bandingkan dengan saya yang gelap ini. Tapi saya tetap mencuba juga untuk meneruskan hubungan itu atas dasar abang angkat dan adik angkat,"katanya.

Perhubungan abang dan adik angkat ini berterusan sehinggalah beliau diterima melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.

Meneruskan hubungan pada zaman itu bukanlah sesuatu yang mudah. Tanpa facebook, tanpa telefon, tanpa Internet, justeru perhubungan yang dilalui hanya menggunakan surat.

Dan perhubungan suci mereka diuji lagi apabila, Noridah diterima melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan perlu mengikuti pengajian tahun pertamanya di Sabah.

Memandangkan jarak yang semakin jauh, dan masing-masing inginkan perhubungan berakhir dengan ikatan yang sah, maka kedua-duanya mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan.

Tanggal 4 Jun 1978, setelah usia pertunangan mencecah tiga tahun, pasangan bahagia ini terus mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

"Agak sukar sebenarnya apabila mempunyai tunang dan bertambah sukar apabila kami jarang dapat bertemu bagi mengelakkan fitnah dunia. Sehinggakan kami terpaksa membawa peneman setiap kali bertemu. Atas sebab itu akhirnya kami sepakat mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga sewaktu saya di tahun akhir pengajian di USM. Bagaimanapun, perkahwinan ini hanya mengambil kira hal-hal wajib sahaja atau dalam erti kata lain nikah gantung.

"Dua tahun selepas itu barulah kami diraikan dalam majlis perkahwinan yang meriah," katanya lagi.

Ujarnya, sikap hormat menghormati, saling percaya mempercayai antara satu sama lain, saling faham memahami serta setia merupakan antara rahsia kebahagiaan rumah tangga yang dibina.

"Kami telah melalui fasa perhubungan yang agak sukar di awal perkenalan. Sukar bukan disebabkan tentangan keluarga, tetapi masalah jarak dan medium perhubungan.

"Alhamdulillah, semuanya berjaya diatasi. Sebab itu tiada alasan perhubungan di zaman teknologi yang semakin berkembang ini dapat menjadi penghalang kepada hubungan luhur kami ini," ujar Dr. Kamarudin lagi.

Bercerita lanjut mengenai perkenalan mereka, Noridah memberitahu, sewaktu diajukan pertanyaan untuk berkahwin, beliau tidak terus menerima lamaran Dr. Kamarudin, malah melakukan sembahyang istikharah terlebih dahulu untuk mendapatkan petunjuk.

"Alhamdulillah, saya peroleh ketenangan dan jawapan dalam perhubungan ini. Atas sebab itu, saya tidak teragak-agak menerima lamaran Dr. Kamarudin," ujarnya sambil menjeling manja suami.

Ditanya soalan, tidakkah sukar untuk menjadi isteri kepada orang nombor satu UniMAP ini, Noridah menjelaskan, perhubungan yang terjalin antara mereka turut diuji dengan pelbagai dugaan, namun tidaklah sampai bergaduh besar.

"Nak dikatakan bergaduh besar itu... tak adalah tapi setakat merajuk itu adalah.

"Dalam setiap perkahwinan, selain hormat menghormati antara satu sama lain, sokongan pada pasangan masing-masing juga perlu. Insya-Allah, itu yang saya amalkan selama ini. Saya amat memahami tugas dan tanggungjawab yang dipikulnya sebagai Naib Canselor UniMAP," katanya lagi.

Sebagai pasangan yang sibuk dengan kerjaya masing-masing, mereka bagaimanapun tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak. Setiap tahun, pasti ada percutian keluarga yang dirancang.

Menurut Dr. Kamarudin sendiri, beliau berbangga mendapat isteri seperti Noridah yang amat mengutamakan pelajaran anak-anak.

Ini dapat dibuktikan apabila keempat-empat anak pasangan ini berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara. Lebih membanggakan apabila ada anak-anak mengikut jejak langkah Dr. Kamarudin menyambung pengajian sehingga ke peringkat ijazah Doktor Falsafah.

Mengakhiri pertemuan, Dr. Kamarudin berkata, perkahwinan merupakan satu ikatan yang manis. Suami dan isteri sewajarnya memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing dan dalam masa yang sama berusaha melengkapkan pasangan.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90