Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1M) dilancarkan mulai 30 Januari 2012

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Penyertaan bagi Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1Malaysia) hanya boleh dibuat melalui pinjaman yang disediakan oleh kerajaan melalui empat institusi perbankan yang dilantik.

Bank-bank itu ialah Malayan Banking Bhd. (Maybank), CIMB Bank, RHB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Pengerusi Malaysia Development Holdings Sdn. Bhd. (MDH), Datuk Dr. Irwan Serigar Abdullah berkata, setiap individu perlu meminjam sebanyak RM5,000 seorang bagi setiap isi rumah tanpa dikenakan kadar faedah.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Kementerian Kewangan berkata, MDH yang berperanan sebagai syarikat khas bagi pelaksanaan skim itu memperuntukkan sebanyak RM100 juta sebagai subsidi membayar kadar faedah pinjaman pelabur yang layak.

Permohonan bagi penyertaan skim itu boleh dibuat mulai Isnin ini, di bank-bank terlibat dengan membawa kad pengenalan pemohon (dua salinan), kad pengenalan pasangan serta dokumen pengesahan gaji tiga bulan pemohon dan pasangan.

''Memandangkan skim ini terhad kepada 100,000 isi rumah yang berkelayakan, penyertaan dibuat berdasarkan siapa cepat, dia dapat, walaupun permohonan dibuka selama setahun.

''Namun, ia masih bergantung kepada syarat-syarat bank, pihak yang meluluskan permohonan setiap pemohon,'' katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian tawaran pinjaman bank Sara 1Malaysia di sini hari ini.

Majlis menandatangani perjanjian itu diwakili oleh Timbalan Presiden Maybank, Lim Hong Tat, Pengarah Eksekutif CIMB Bank, Datuk Suleiman Mohd. Tahir, Pemangku Pengarah Runcit RHB, Au Yong See Wong dan Timbalan Ketua Eksekutif BSN, Yunos Abd. Ghani.

Irwan berkata, setiap permohonan dijangka mengambil masa seminggu untuk diproses dan sebarang keputusan akan diberitahu oleh pihak bank.

Beliau menambah, sejak Sara 1Malaysia dilancarkan pada 12 Januari lalu, reaksi dan maklum balas yang diterima cukup hangat.

Permohonan terbuka kepada semua warga Malaysia berumur 18 tahun hingga 58 tahun dan memiliki pendapatan kasar kurang RM3,000 sebulan dan tidak muflis.

Tambahnya, pendekatan itu adalah selaras dengan tujuan skim tersebut untuk merangsang golongan yang berpendapatan RM3,000 ke bawah untuk melabur dan pada masa sama membantu mengurangkan beban.

Para peserta Sara 1Malaysia yang layak akan mendapat insentif sebanyak RM134 sebulan daripada pelaburan RM5,000 yang dibuat dalam Amanah Saham 1Malaysia (AS1M).

Menurut beliau, agihan permohonan penyertaan skim itu melalui bank-bank berkenaan dibuat di seluruh negara secara sama rata.

''Kami akan menggunakan data Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dalam pelaksanaan agihan skim ini,'' ujarnya.

Ditanya adakah MDH bercadang untuk menambah penyertaan pelaburan skim itu jika sambutan baik, beliau berkata: "Setakat hari ini, kami tidak ada rancangan untuk menambahnya. Kita tunggu dan lihat dulu," katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
4 Comments
  • idah
    idah Sabtu, 28 Januari 2012 pada 10:37:00 PG SGT

    hashidah bt hashim. saya ada mendengar khabar angin bahawa pihak kerajaan akan membayar rm50 pd setiap bulan kepada individu yg melabur. adakah betul kenyataan tersebut?

  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Isnin, 30 Januari 2012 pada 11:29:00 PG SGT

    bayaran bulanan yang kita kena bayar brape?

  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Selasa, 31 Januari 2012 pada 11:26:00 PG SGT

    betol tp lau nk bia kan pon xpe dlm mse 5 tahun..nnti bertambah2..

  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Selasa, 12 Februari 2013 pada 2:18:00 PTG SGT

    perlu ic pasangan? skim ini hanya utk orang yg berkahwin ke??

Add Comment
comment url