eRezeki bantu jana pendapatan
Kerajaan terus membela nasib golongan isi rumah berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan (B40) melalui pelancaran eRezeki, sebuah program menjana pendapatan tambahan menggunakan teknologi digital dikhaskan kepada kumpulan itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, program berkenaan yang berkonsepkan penyumberan awam akan memberi latihan kemahiran percuma dalam bidang digital kepada golongan B40 sebelum mereka diberi tugasan yang menawarkan bayaran lumayan daripada syarikat-syarikat digital di pasaran.
Katanya, kebanyakan tugasan boleh dilakukan dari rumah seperti memasukkan data ke dalam sistem komputer, menyemak kesesuaian gambar dan transkripsi video atau audio sebelum diterbitkan.
Katanya, program transformasi nasional yang dikendalikan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) itu bakal menjana pendapatan golongan B40 daripada RM2,500 sebulan ketika ini kepada RM5,000 sebulan menjelang 2020.
“Saya yakin program ini akan menjadi senjata ampuh kepada kerajaan membela nasib golongan B40,” katanya berucap pada Pelancaran Program Jana Pendapatan Tambahan eRezeki.
Yang turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Pegawai Eksekutif MDeC, Datuk Yasmin Mahmood.
Katanya, sebagai permulaan, MDeC membuka empat pusat latihan atau Pusat eRezeki di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Terengganu manakala 11 lagi dibuka di seluruh negara akhir tahun ini.
“Program ini boleh disertai pelajar, siswazah menganggur, suri rumah, pesara dan warga emas.”
Sumber : Utusan