Tiada caj isi minyak Petron guna kad debit
Tourism Malaysia dengan kerjasama Petron Malaysia dan Payments Network (PayNet) melancarkan kempen Fuel Penuh Gaya MyDebit Je dengan Kad ATM Anda! dalam usaha mempertingkatkan mobiliti rakyat serta menggalakkan perbelanjaan dan pelancongan domestik.
Bermula hari ini sehingga 31 Disember ini, pelanggan yang membuat pembelian petrol minimum RM5 menggunakan kad MyDebit ATM di mana-mana 720 cawangan stesen Petron memperoleh penyertaan automatik dan berpeluang memenangi hadiah menarik.
Hadiah yang ditawarkan ialah motosikal Kawasaki Z250 ABS, Modenas Pulsar NS200 ABS, Go Pro Hero8 Black, point Petron Miles bernilai RM500 dan bekalan Petron Rifer 4T Synthetic Blend untuk tempoh setahun selain baucar penginapan di hotel-hotel terkemuka.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, data Jabatan Perangkaan menunjukkan bahan api kenderaan merupakan komponen kedua terbesar daripada segi perbelanjaan oleh pelancong domestik, diikuti dengan sektor beli-belah.
“Promosi seperti kempen bersama Petron ini mampu meningkatkan permintaan penggunaan petrol, sekali gus menambah mobiliti orang ramai melancong dalam negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian kempen tersebut di stesen Petron NKVE di Seksyen U1 di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof; Pengurus Besar Petron, Faridah Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Peter Schiesser.
Sementara itu, Faridah berkata, Petron kini satu-satunya rangkaian stesen minyak yang memberi kemudahan untuk membuat bayaran menggunakan kad MyDebit ATM tanpa dikenakan sebarang caj sejak Januari lalu.
Sebelum ini, pengguna yang menggunakan kad debit di stesen minyak akan disekat RM200 dan proses berkenaan boleh mengambil masa sehingga tiga hari.
“Sejak pengenalan fungsi ini, kami melihat peningkatan menggalakkan dalam penggunaan kad debit dan kempen ini diharapkan dapat meningkatkan peratusan penggunaan kad debit berbanding tunai di stesen minyak kami,” katanya.