RTM hentikan semua siaran di Astro mulai 1 Julai 2026

 


Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menghentikan perkhidmatan siaran saluran-salurannya di platform satelit Astro bermula 1 Julai ini selepas hampir 30 tahun kerjasama.

Dalam satu pekeliling bertarikh 11 Mei, RTM memaklumkan kedua-dua pihak ketika ini berdepan kesukaran untuk 'mencapai persetujuan harga' dan kontrak yang memenuhi keperluan serta kemampuan kewangan masing-masing.

"Selepas bertahun-tahun menjalinkan kerjasama dan rundingan berterusan berkaitan kos serta kadar sewaan bagi perkhidmatan ini, adalah sukar ketika ini untuk mencapai persetujuan harga dan kontrak yang memenuhi keperluan serta kemampuan kewangan kedua-dua pihak.

"Sehubungan itu, RTM memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan penyiaran saluran RTM iaitu TV1-HD, TV2-HD dan Okey di platform satelit ASTRO serta platform 'over-the-top' (OTT) yang dikendalikan. Penamatan ini akan berkuat kuasa pada 1 Julai 2026," katanya.

RTM telah bekerjasama dengan Astro dalam penyiaran saluran TV1 dan TV2 sejak 1996, manakala saluran Okey yang sebelum ini dikenali sebagai Muzik Aktif dan TVi, sejak 2009.

RTM turut memaklumkan bahawa kerjasama dengan Astro melibatkan beberapa penerbitan usaha sama dan memberi impak positif kepada penonton kedua-dua pihak.

"Apabila kos sewaan saluran terus meningkat dan beban kewangan RTM untuk menyewa saluran ini menjadi semakin berat, adalah lebih wajar untuk kami menamatkan perkhidmatan ini agar tidak terus dibebani kos yang sukar dikawal," katanya.

Sumber : Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url