RON97 kini RM2.30 seliter

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN on Wednesday, December 1, 2010

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Harga minyak petrol RON97 naik sebanyak 15 sen kepada RM2.30 seliter mulai 1 Disember 2010.

Bagaimanapun, harga petrol RON95 kekal tidak berubah pada RM1.85 seliter.

Menurut sumber, pengumuman mengenai kenaikan harga RON97 tidak dibuat secara rasmi oleh kerajaan memandangkan perubahan adalah mengikut harga pasaran dunia.

Ia kenaikan kali kedua sejak kerajaan membuat pelarasan subsidi petrol dan memutuskan untuk mengapungkan harganya dari semasa ke semasa.

Pada 1 November lalu, petrol gred RON97 naik sebanyak 5 sen kepada RM2.15 seliter.

Bagaimanapun, kerajaan masih mengekalkan subsidi petrol RON95 walaupun dikatakan bakal menjejaskan pentadbiran kerajaan.

Pada Oktober lalu, kerajaan menjelaskan perbelanjaan subsidi untuk tahun depan mampu mencecah RM24.9 bilion berbanding tahun ini iaitu RM23.7 bilion.

- UTUSAN

Bagaimanakah bintang terbentuk?

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN


Sejak ratusan tahun dahulu manusia menjadikan bintang sebagai rujukan arah berikutan kedudukannya yang tetap dan mudah untuk dikenal pasti ekoran cahayanya yang amat terang.

Sebenarnya bintang tidak berklip sebagaimana sering kita dengar ungkapan kerlipan. Namun, kerana kedudukan bintang terlalu jauh sinarannya seolah-olah berkelip.

Sehingga kini, bintang terus menjadi pujaan manusia berikutan ia merupakan antara ciptaan Tuhan yang mengagumkan.

Malah, antara bintang yang terdekat dengan planet bumi adalah matahari.

Namun tahukah anda bagaimana bintang terbentuk?

Ia terbentuk dalam gumpalan awan bermolekul iaitu sebuah medium antara bintang-bintang lain yang luas dengan kerapatan yang tinggi.

Pada peringkat awal, pembentukan bintang bermula dengan proses gas yang berkumpul lalu membentuk gumpalan awan di ruang angkasa lepas.

Gumpalan awan tersebut sebenarnya mengandungi gas hidrogen dan sekitar 23 hingga 28 peratus gas helium serta beberapa peratus elemen berat.

Setelah beberapa lama, teras awan tersebut bertukar menjadi sebuah kawasan yang memiliki kepadatan yang amat tinggi sehingga tidak stabil secara graviti, berpecah dan berlakunya letupan.

Sebahagian daripada daya graviti teras bintang yang hilang dalam kemusnahan tersebut bertukar sebagai haba infra dan sekali gus meningkatkan suhu teras.

Apabila kepadatan dan suhu menjadi cukup tinggi, pelakuran deuterium bermula, seterusnya tekanan luaran menghasilkan sinaran secara memperlahankan.

Manakala bahan lain dari gumpalan awan disekelilingnya akan berterusan diserap ke dalam proto bintang.

Akhirnya, hidrogen mula bergabung diteras bintang, dan bahan penyalut yang lain mulai hilang.

Bagi bintang berjisim tinggi, tempoh proses pembentukannya boleh dibandingkan dengan skala masa lain bagi evolusi mereka. Ia lebih pendek, dan proses tersebut tidak ditetapkan dengan jelas.

Bintang akan mencapai jujukan utama apabila terasnya mencapai suhu yang mencukupi untuk mencetuskan perlakuran hidrogen dan memulakan keseimbangan hidrostatik.

Sepanjang bintang yang berada di dalam jujukan utama, ia secara perlahan-lahan menukarkan hidrogen kepada helium dan hayat bintang dalam jujukan utama akan tamat apabila hampir ke semua hidrogen dalam teras habis digunakan.

Proses pembentukkan bintang tersebut memakan masa yang amat panjang iaitu jutaan tahun.

- UTUSAN

Faedah waktu fajar

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBALRI

Surah ini termasuk dalam surah Makkiyyah. Ia terdiri daripada 30 ayat dan diturunkan selepas surah al-Ghashiyah.

Hubungan surah ini dengan surah al-Ghashiyah adalah:

1. Dalam surah al-Ghashiyah, Allah SWT menerangkan keadaan orang yang berwajah berseri-seri. Dalam surah ini pula, Allah SWT menerangkan sekelompok kaum pendusta lagi derhaka yang berwajah hina dan sekelompok orang yang berwajah cemerlang lagi berseri-seri.

2. Sumpah yang mengawal surah ini bagaikan dalil bagi kebenaran apa yang terkandung dalam penutup surah yang lalu iaitu janji ancaman dan seksa.

Firman Allah SWT: Demi waktu fajar, dan malam yang 10 (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).

Ibn Kathir berkata: Perkataan al-Fajr telah diketahui maknanya iaitu waktu Subuh. Demikian yang dikemukakan oleh Ali, Ibn Abbas, dari Masruq dan Muhammad bin Ka'ab.

Maksud dalam ayat ini adalah waktu fajar pada Hari Raya Korban khususnya yang merupakan penutup malam yang ke-10. Iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah sebagaimana yang dikatakan oleh Ibn Abbas, Ibn Zubair, Mujahid dan lain-lain di kalangan kaum Salaf dan Khalaf.

Antara tafsiran lain berkenaan fajar adalah fajar subuh setiap hari seperti kata Ikrimah, Zaid bin Aslam dan al-Qurazi, dan juga siang hari keseluruhannya seperti kata Abu Nadrah.

Berkenaan dengan malah 10, ada pendapat menyatakan 10 akhir Ramadan, 10 awal Ramadan dan 10 awal Muharam seperti dinukilkan daripada Ibn Jauzi dalam Zad al-Masir.

Firman Allah SWT: dan bilangan yang genap serta yang ganjil, dan malam, apabila ia berlalu.

Al-Magahri berkata: Kenikmatan Allah SWT yang dikurniakan kepada hamba-Nya kerana penggantian siang dan malam serta keadaannya yang berbeza-beza.

Ini kerana perbezaan waktu dan musim adalah termasuk kurnia yang tidak dapat diingkari kecuali oleh orang yang bongkak.

Sudah tentu Tuhan kita bersumpah dengan siang dan malam ini untuk menjadi peringatan bahawa penggantian siang dan malam adalah berkat pengaturan Zat Yang Maha Pengatur, Yang Bijaksana dan Yang Mengetahui bahawa yang demikian itu berguna bagi hamba-Nya.

Cuba perhatikan faedah yang terdapat pada waktu fajar, nescaya kamu mengetahui bahawa ia akan menghilangkan kesedihan yang terjadi pada malam hari dan mengingatkan datangnya saat mula kerja.

Oleh yang demikian kamu akan memperoleh faedah yang ada pada malam purnama yang membawa jiwa kepada berjaga dan memudahkan manusia dapat bekerja secara baik khususnya pada musim-musim panas di negeri-negeri seperti Arab.

Firman Allah SWT: Bukankah yang demikian itu mengandungi sumpah (yang diakui kebenarannya) oleh orang yang berakal sempurna?

Ibn Kathir berkata: Iaitu orang yang mempunyai akal. Akal disebut dengan sebutan al-Hijr kerana dapat mencegah manusia melakukan hal-hal yang tidak wajar untuk dilakukan.

Sumpah ini berkaitan dengan waktu-waktu ibadah dan ibadah itu sendiri yang terdiri daripada haji, solat dan berbagai macam ibadah lainnya daripada saranan yang dipergunakan oleh hamba-hamba yang bertakwa, tawaduk serta khusyuk di hadapan wajah-Nya yang mulia untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

Firman Allah SWT: (Kami tetap akan membinasakan orang yang menentangmu wahai Muhammad), tidakkah engkau perhatikan, bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum Aad (yang kufur derhaka), iaitu penduduk 'Iram' yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya, (sesuai dengan penduduknya), yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di segala negeri (pada zamannya)? Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadil-Qura iaitu tempat tinggalnya)?

- UTUSAN

WikiLeaks bocor rahsia AS

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN


WASHINGTON – Sebanyak 251,287 dokumen Amerika Syarikat (AS) disiarkan di laman WikiLeaks di Internet kelmarin yang membocorkan maklumat daripada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) mengenai penilaian pemimpin dunia dan maklumat rahsia lain.

Maklumat yang disiarkan itu mencetuskan kejutan dalam kalangan pemimpin dunia dan dunia diplomatik.

Akhbar New York Times, Guardian dan majalah Der Spiegel bersama akhbar di Perancis serta Sepanyol memperoleh dokumen tersebut.

Namun identiti yang penyebar maklumat itu tidak didedahkan.

Menurut akhbar itu, kebanyakan maklumat tersebut dilabelkan sebagai maklumat sulit, disimpan sebagai dokumen paling sulit.

Antara kandungan mengejutkan itu ialah pentadbiran Amerika Syarikat (AS) mengarahkan para diplomatnya memainkan peranan sebagai perisik dengan melakukan kerja-kerja pengintipan.

Sebagai contoh, satu arahan sulit dihantar kepada para diplomat AS dengan menggunakan nama Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton pada Julai tahun lalu.

Arahan itu meminta maklumat terperinci mengenai sistem komunikasi yang digunakan oleh para pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut akhbar New York Times, salah satu arahan yang ditandatangani oleh Hillary adalah meminta maklumat biografi dan biometrik mengenai diplomat-diplomat Korea Utara daripada diplomat-diplomat AS.

Menurut akhbar Guardian, arahan itu meminta maklumat perisikan mengenai Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon berhubung cara pengurusan dan caranya membuat keputusan serta pengaruhnya.

Dokumen itu turut mendedahkan penilaian mengenai watak dan peribadi beberapa pemimpin dunia yang dibuat oleh diplomat AS.

Antara pemimpin dunia yang dinilai itu ialah Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad yang dilabelkan sebagai Hitler yang merujuk kepada bekas pemimpin Jerman Adolf Hitler.

Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi, Presiden Afghanistan, Hamid Karzai, Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin tidak terkecuali daripada dinilai oleh para diplomat AS.

– Agensi

Telur ayam dua kali lebih besar

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN


CHRISTCHURCH, Britain - Seekor ayam betina bernama Bolt di sini, mengejutkan pemiliknya, Denise Sloan, apabila ia mengeluarkan sebiji telur bersaiz dua kali ganda lebih besar daripada telur ayam biasa, lapor sebuah akhbar semalam.

Panjang telur gergasi itu 9 sentimeter (sm) manakala lebarnya adalah 5.7sm.

Sloan yang merupakan seorang petani berusia 52 tahun berkata, dia tidak pernah melihat telur sebesar itu walaupun telah memelihara ayam selama 15 tahun.

"Saya tidak pasti rekod dunia telur ayam tetapi telur ini amat besar," katanya baru-baru ini.

Rekod dunia telur ayam terbesar setakat ini menjadi milik Zhang Yinde iaitu seorang kakitangan Biro Perhutanan Daerah Suiling di China, setelah ayam peliharaannya mengeluarkan telur sepanjang 9.2sm dan lebar 6.3sm dengan berat 201 gram.

- Agensi

Koleksi buku kuasai bahasa Inggeris

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN


Masih segar dalam ingatan Pengurus Cambridge Learning Malaysia, Cambridge University Press (CUP), Gregor D. Smart apabila beliau didatangi oleh seorang lelaki ketika menyertai Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada Mac lalu.

Menurut Gregor, 44, lelaki pertengahan usia yang ditemuinya di gerai CUP itu kelihatan sangat teruja kerana bertemu kembali judul buku yang pernah digunakannya pada suatu ketika dahulu sebagai bahan dalam usaha memantapkan penguasaan bahasa Inggeris.

Lelaki tersebut memberitahu Gregor bahawa buku berjudul English Grammar in Use itu banyak membantu beliau dalam mempelajari teknik tatabahasa dan beliau berhasrat membelikannya untuk anak perempuan beliau.

“Buku berkulit tebal dan berwarna perak berkilau itu merupakan keluaran khas sempena ulang tahun pengeluarannya yang ke-25 pada tahun lalu.

“Ia tidak dapat diperoleh di negara ini kerana dicetak dengan terhad untuk pasaran London sahaja. Namun sesiapa yang ingin memilikinya dalam versi asal boleh mendapatkannya di gedung-gedung buku di negara ini,” kata lelaki kelahiran Paisley, Scotland itu.

Mengulas mengenai keistimewaan buku tersebut, kata lelaki yang menggemari masakan rendang daging itu, buku tersebut sesuai digunakan untuk pelbagai peringkat usia pelajar terutama mereka yang sedang mempelajari bahasa itu pada tahap pertengahan.

Dengan terdapat lebih 200 latihan yang berbeza dan format serta penerangan yang mudah difahami membuatkan buku yang dihasilkan oleh Raymond Murphy tersebut merupakan buku tatabahasa paling banyak terjual oleh CUP.

“Bayangkan sejak mula diterbitkan pada 1984, buku tersebut sentiasa mendapat permintaan tinggi oleh guru-guru bahasa dan pelajar, bukan sahaja di negara ini tetapi seluruh dunia,” katanya sambil menjelaskan bahawa buku setebal 142 muka surat itu turut dijual bersama sekeping cakera padat (CD) interaktif.

Disasarkan supaya dimiliki oleh setiap orang yang ingin menguasai bahasa Inggeris, kamus Cambridge Advanced Learner’s Dictionary pula antara buah tangan penting CUP yang lain kerana ia menjadi kamus utama.

Lelaki yang sudah tiga tahun menetap di Petaling Jaya itu menjelaskan bahawa kandungan perkataan dalam kamus berkenaan merupakan himpunan daripada pangkalan data kursus antarabangsa Cambridge, Universiti Cambridge.

“Ia merangkumi himpunan perkataan akademik, saintifik dan perkataan asas dengan penerangan maksud yang ringkas dan mudah difahami,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Gregor, kamus peringkat lanjutan tersebut lebih istimewa apabila turut disertakan dengan ilustrasi mudah difahami seperti kotak Pasangan Perkataan yang menunjukkan cara-cara bagaimana sesuatu perkataan digabungkan bagi membentuk ayat yang hebat.

“Maksud yang diterangkan dalam kamus ini betul-betul ringkas dan disertakan dengan perkataan mudah.

“Selain itu CD rom yang turut ditampilkan bersama juga akan membantu kerana mengandungi kamus dalam bentuk maya, sebutan vokal perkataan dalam loghat British dan Amerika Syarikat serta latihan,” katanya mengenai bahan tersebut yang hanya boleh diakses melalui penggunaan kata laluan oleh seorang pengguna.

- KOSMO!

Khatan wanita masih popular

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN

Bagi sebahagian besar masyarakat Islam di negara ini, mengkhatankan bayi perempuan dianggap sebagai satu tuntutan agama walaupun secara dasarnya ia bukan amalan yang wajib dilaksanakan.

Rata-ratanya percaya, bersunat boleh mempengaruhi kesihatan sepanjang hayat sama ada untuk lelaki mahupun wanita.

“Bersunat bagi wanita bertujuan untuk menjaga kebersihan selain daripada mengawasi kesihatan batin.

“Menurut petua orang-orang lama juga, berkhatan dapat memelihara diri daripada mendapat pelbagai penyakit.

“Ia juga merupakan satu cara untuk mendoakan zuriat menjadi perempuan yang baik dan solehah apabila dewasa nanti,” jelas pengamal perbidanan tradisional, Nikmah Suhaidi, 49, ketika ditemui Jurnal di rumahnya di pekan Dengkil, Selangor baru-baru ini.

Amalan dituntut

Mewarisi kepakaran turun-temurun daripada keluarga sebelah ibunya, wanita berketurunan Melayu Boyan ini sudah 18 tahun menyunatkan kaum Hawa.

“Selain bayi, saya juga menyunatkan wanita dewasa, sama ada wanita Melayu yang tidak pernah bersunat mahupun wanita yang baru memeluk Islam. Ada yang masih muda, ada juga yang sudah beranak-pinak,” ujarnya.

Menurut Nikmah, wanita mualaf memilih untuk berkhatan kerana mereka menganggap ia sebagai ritual pembersihan selain membuktikan kesediaan mereka untuk menjalani kehidupan sebagai wanita Islam.

“Ia bukan paksaan, tetapi amalan yang dituntut. Selain itu, saya juga percaya, berkhatan mampu memelihara gelora nafsu dan mengurangkan rangsangan berlebihan terhadap kaum Adam.

“Saya tidak pasti sama ada terdapat kajian yang jelas tentang sunat mampu mengawal nafsu berahi wanita.

“Namun, menurut pengalaman saya, sudah beberapa kali wanita dewasa yang dikhatankan mengakui lebih mudah mengendalikan rangsangan seksual mereka,” katanya yang pernah mengkhatankan beberapa orang pekerja seks sebelum ini.

Mengupas lebih lanjut kaedah berkhatan bagi perempuan, Nikmah memberitahu, lazimnya bayi perempuan disunatkan ketika masih kecil, seeloknya beberapa hari selepas dilahirkan.

Namun, ada juga ibu bapa yang memilih untuk menunggu hingga setahun sebelum mengkhatankan anak masing-masing.

Kerat 1.3 sentimeter

“Bersunat bagi perempuan ialah dengan memotong sebahagian muncung daging yang tersembul berdekatan saluran kemaluan wanita. Ia terletak di sebelah atas faraj yang kelihatan seakan-akan bonjolan.

“Bagi wanita dewasa, daging yang dipotong kira-kira setengah inci (1.3 sentimeter).

“Alat yang digunakan untuk memotong ialah mata pisau cukur yang dipotong empat untuk bayi dan gunting kecil untuk wanita dewasa,” ujarnya.

Selain itu, kelengkapan lain yang diperlukan dalam adat berkhatan ialah kain putih yang bersih, minyak gamat, kain kapas dan duit syiling lima sen.

“Kain putih biasanya akan disediakan sendiri oleh pihak yang ingin dikhatankan. Bagi bayi perempuan, kain yang diperlukan ialah sepanjang satu meter dan dua meter bagi wanita dewasa.

“Kain tersebut akan digunakan sebagai alas punggung selain untuk membungkus duit syiling sebagai pelapik mata pisau cukur bagi mengelak mata pisau menoreh tangan.

“Bagi wanita dewasa pula, selain dijadikan alas, kain putih juga digunakan untuk membungkus daging yang digunting sebelum ditanam,” tambahnya.

Sungguhpun masih mengekalkan berkhatan cara lama, Nikmah tidak pernah berkompromi tentang kebersihan. Setiap peralatan seperti kain, mata pisau dan gunting, akan dicuci bersih sebelum digunakan.

Malah, bekas bidan di klinik swasta ini juga tidak akan menggunakan peralatan yang sama untuk pelanggan berbeza.

“Kain, mata pisau dan gunting akan digunakan sekali saja. Ia akan dibungkus dan ditanam bersama daging yang dipotong tadi. Ini untuk mengelakkan jangkitan kuman dan komplikasi lain.

Tambah Nikmah, untuk memudahkan proses berkhatan, seelok-eloknya kita memulakan dengan selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W.

Tanpa sebarang suntikan bius atau ubat pelali, Nikmah melakukan tugasnya dengan berbekalkan ayat suci al-Quran selain selawat.

“Selesai berkhatan, saya akan memandikan mereka dengan air limau sambil membaca selawat, ia bertujuan untuk membersihkan diri dan menjauhi perkara tidak baik daripada berlaku,” ujarnya yang pernah mengkhatankan bayi yang baru lahir hinggalah wanita dewasa berusia 50 tahun.

- KOSMO!




 

KATEGORI

Artis (282) Astronomi (79) Berita (1881) Bolasepak (113) DPLI (39) Dunia (850) Ekonomi (782) Gempar (203) Hiburan (483) Islam (2210) Isu Semasa (114) Jawatan Kosong (1473) Keluarga (263) Kerjaya (1781) Kesihatan (960) Kewangan (349) Komentar (154) KPLI (91) KPLSPM (27) Mistik (49) Motivasi (616) Pendidikan (1094) Pentadbiran (218) Personaliti (210) Politik (1691) Sastera (77) Sejarah (205) Soal Jawab (85) Teknologi (757) Temuramah (19) Umum (941) Undang-Undang (220)

BLOG TERKINI