BN perlu menang


Barisan Nasional (BN) perlu mencatatkan kemenangan pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang akan diadakan pada 17 Januari ini bagi membuktikan ia adalah sebuah parti yang masih diterima oleh rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kejayaan dalam pilihan raya kecil itu nanti merupakan titik permulaan kebangkitan UMNO dan BN selepas kekalahan pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang tahun lepas.

"Kita tak boleh dan tak mampu kalah dalam pilihan raya kecil ini kerana kemenangan di Parlimen Kuala Terengganu adalah penting bagi masa depan kita.

"Ini kerana ia akan menjadi isyarat jelas kepada seluruh dunia bahawa rakyat Malaysia tetap memilih BN sebagai parti pilihan utama mereka," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Penutup Pemukiman UMNO Terengganu dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kecil P036 Parlimen Kuala Terengganu di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI) di Kuala Terengganu hari ini.

Turut hadir ialah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, dua Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein; Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz; Naib Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said.

Untuk mencapai kemenangan itu, Najib meminta semua ahli UMNO dan BN supaya merapatkan barisan dan bersatu hati tanpa mengira siapa calon yang akan dipilih bertanding dalam pilihan raya kecil itu nanti.

"Saya mahu semua pihak di peringkat bahagian, negeri dan kebangsaan bekerjasama dan bersatu padu dalam memastikan kejayaan ini.

"Ia perlu bermula daripada peringkat pemimpin kerana jika di atas sudah molek (baik) maka di bawah juga akan molek," ujarnya.

Beliau memberitahu, kekalahan yang dialami oleh BN di Terengganu pada pilihan raya umum 1999 bukan kerana parti pembangkang kuat tetapi ahli UMNO sendiri tidak menyokong parti.

"Ahli-ahli UMNO sendiri sanggup mengkhianati dan bermuka-muka dengan kita. Mereka tidak sokong parti berikutan pemimpin pilihan mereka tidak dipilih sebagai calon untuk bertanding," jelasnya.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url